10 terbunuh dalam dua kejadian tembakan di Afrika Selatan

10 terbunuh dalam dua kejadian tembakan di Afrika Selatan

JOHANNESBURG: Sepuluh orang terbunuh selepas lelaki bersenjata menyerbu dua pekan di wilayah Cape, Afrika Selatan, menurut polis pada Khamis. Kes pertama berlaku kira-kira 8 malam Rabu di pekan Bityi apabila lelaki bersenjata menyerbu sebuah rumah dan membunuh tiga orang, lapor Agensi Anadolu.

Pihak berkuasa berkata kes kedua berlaku hampir tengah malam apabila lelaki bersenjata memasuki pekan Qunu dan melepaskan tembakan ke arah tujuh orang. Mangsa yang maut termasuk empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 32 dan 46 tahun, menurut polis.

Jurucakap polis Tembinkosi Kinana berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak berkuasa sedang memburu suspek dalam kedua-dua kes berkenaan. Pada Ahad lepas lapan orang terbunuh apabila dua lelaki bersenjata memasuki sebuah rumah di wilayah yang sama dan menembak tetamu secara rawak pada majlis hari jadi.

Kes tembakan besar-besaran kini semakin kerap di Afrika Selatan dengan purata 70 orang dibunuh setiap hari sejak April hingga Jun 2022, menurut statistik jenayah negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This