100 hari lagi untuk atlet para buat persiapan ke Para SUKMA Ke-21

100 hari lagi untuk atlet para buat persiapan ke Para SUKMA Ke-21

KUCHING,. Atlet para SUKMA Sarawak mempunyai 100 hari lagi untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan Para SUKMA Ke-21 yang dijadual pada 22 hingga 28 September ini di sini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 334 acara bagi 10 jenis sukan akan dipertandingkan pada sukan kali ini.

Antara sukan yang dipertandingkan ialah olahraga, renang, badminton, pingpong, boling, boccia, lawn bowl, powerlifting, memanah dan catur.

Sebanyak 15 negeri katanya, termasuk Wilayah Persekutuan seluruh Malaysia akan menyertai temasya kali ini yang terdiri daripada 1,528 atlet, 49 atlet sokongan, 788 pegawai dan 75 urus setia kontinjen.

“Misi kontinjen atlet Para SUKMA Sarawak adalah untuk menjadi juara dengan menebus kekalahan kepada kontinjen Sabah pada temasya di Kuala Lumpur 2022.

“Jadi untuk muncul juara, kita perlu melakukan lebih baik berbanding Sabah dalam semua acara yang dipertandingkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kiraan Detik 100 Hari Ke Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Hotel dan Pusat Konvensyen Raia di sini, hari ini.

Dari segi persediaan, Fatimah berkata pasukan penggerak Para SUKMA Sarawak telah mengadakan Jelajah Identifikasi Bakat (TID) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di Kuching, Sibu, Miri dan Sri Aman.

Melalui TID katanya, seramai 85 atlet para yang baharu telah dikenal pasti dan akan turut bertanding pada Para SUKMA XXI Sarawak 2024.

Latihan pemantapan atlet juga katanya, diadakan di tempat masing-masing sebelum latihan secara berpusat dari Julai hingga September ini di Kuching.

Sementara itu, majlis tersebut dilancarkan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di mana kontinjen Para SUKMA Sarawak menyasarkan pungutan 83 pingat emas untuk muncul juara buat kali ke-14.

Dr Sim berkata, beliau yakin Sarawak mampu menjuarai temasya Para SUKMA kali ini melihat kepada semangat tinggi yang ditunjukkan para atlet Sarawak.

“Semangat tinggi atlet para SUKMA ini menjadi inspirasi kepada kita kerana mereka mengubah cabaran kepada peluang untuk mereka menonjolkan bakat dalam bidang sukan,” katanya.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian watikah pelantikan Chef de Mission, Timbalan Chef De Mission dan Penolong Chef De Mission Kontinjen Sarawak.

Datuk Mohammad Razi Sitam dipertanggungjawabkan sebagai Chef De Mission dibantu Timbalannya Lamat Nyalau bersama 10 Penolong Chef De Mission dan 13 Penolong kepada Penolong Chef De Mission.

CATEGORIES
TAGS
Share This