
1,000 ekor benih ikan salap lampam dilepaskan di Sungai Tagal Kg Gasabon
KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik melepaskan kira-kira sebanyak 1,000 ekor benih ikan salap lampam tempatan dalam satu program yang diadakan di Sungai Tagal Kampung Gasabon kelmarin.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor ditemani Pegawai Perikanan Wilayah Keningau Harun Duin bagi bersama-sama melepaskan benih ikan ke sungai tagal itu.
Program itu merupakan kesinambungan daripada pelancaran sistem tagal tiga buah kampung yang disempurnakan telah disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan di Kg Kapayan Lama.
Robert ketika ditemui berharap benih ikan yang dilepaskan ke sungai itu dapat menambah lagi jumlah ikan sedia ada di sungai berkenaan sekaligus memulihara eko sistem tagal yang diusahakan.
Beliau juga berpesan kepada masyarakat dan penduduk setempat supaya bersama-sama menjaga kelestarian hidupan sungai sebagai usaha memastikan sistem tagal di kampung itu dijaga dengan sebaiknya.
Harun semasa ditemui pada program itu merakamkan penghargaan kepada Robert atas sokongan yang diberikan sebagai wakil rakyat dan berharap sistem tagal komuniti itu dapat menyumbang kepada kelestarian hidupan sungai sekaligus menjamin kelangsungan ekosistem yang semakin terancam oleh arus pembangunan.
Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor Junior Fred; Pemaju Mukim Apin-Apin Dennis Joakim; Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Gasabon Joanes Sapot; Ketua Kampung Awong Samih; Pengerusi Tagal Patrick Simon; WKAN Alex Amik; Komuniti KRT Kg Sungoi dan pemimpin setempat lain.
-Agensi