12 institusi kewangan terlibat dana Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA – BNM

KUALA LUMPUR,. Dua belas institusi kewangan terlibat dengan dana Skim Pembiayaan Pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang memberi pilihan pakej kepada perusahaan kecil dan sederhana dalam industri pelancongan, seni serta budaya.

Perkara itu merupakan antara yang dikemukakan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus kepada Datuk Seri Nancy Shukri sewaktu kunjungan hormat ke atas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu di sini hari ini.

Pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini menyebut sewaktu pertemuan itu, Nor Shamsiah turut mengemukakan perincian dana tersebut.

“Menurutnya lagi (Nor Shamsiah), semua bank terlibat bersedia melaksanakan proses berkaitan dengan pengurusan dana tersebut serta-merta sebaik sahaja pengumuman dibuat,” menurut kenyataan itu.

Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Dr Noor Zari Hamat dan pengurusan tertinggi kementerian.

Sewaktu pertemuan itu, Nancy memaklumkan adalah penting untuk MOTAC bekerjasama dengan BNM bagi mendapatkan penjelasan senario terkini melibatkan kedudukan ekonomi negara khususnya impak semasa yang dihadapi penggiat industri pelancongan, seni dan budaya dalam negara, menurut kenyataan tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )