122 individu ditahan dalam Ops Tapis, Ops Sarang

122 individu ditahan dalam Ops Tapis, Ops Sarang

SANDAKAN,. Seramai 122 individu ditahan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah dalam Ops Tapis dan Ops Sarang yang dijalankan sekitar Sandakan dari 1 Julai sehingga Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, sebanyak 63 serbuan dijalankan dan merampas dadah jenis syabu seberat 1,625.92 gram.

“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan telah menahan 122 individu bagi tempoh 1 Julai hingga 19 Julai lepas,” katanya.

Beliau berkata, dari jumlah itu, seramai 115 individu telah melakukan pelbagai kesalahan dimana tiga lelaki di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dengan rampasan dadah jenis syabu 1610.92 gram.

“11 lelaki di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 dengan rampasan dadah jenis syabu 15 gram, manakala 102 individu ditahan bagi kesalahan memiliki Seksyen 12(2) ADB 1952 dan ujian air kencing didapati positif dibawah Seksyen 15(1) ADB 1952,” katanya.

Mohd Azhar berkata, sepanjang operasi itu pihaknya juga menahan dua lelaki dibawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas ADK 1968.

“Lima lagi lelaki akan dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952 disebabkan kesalahan berulang,” katanya.

Beliau menegaskan pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas pengedar-pengedar dadah yang berada di daerah ini.

“Kerjasama daripada masyarakat dalam memberi maklumat tentang aktiviti dadah juga amat dihargai dalam membantu pihak polis membanteras masalah dadah,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This