1,291 prasekolah di Sabah dibuka hari ini

1,291 prasekolah di Sabah dibuka hari ini

PAPAR,. Sebanyak 1,291 prasekolah kerajaan dan swasta di Sabah mula dibuka semula serta menerima kehadiran murid, mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JKNS), Dr Mistrine Radin, berkata antara prasekolah yang terbabit adalah Prasekolah Jenis Sekolah Kerajaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan prasekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Sebanyak 886 prasekolah kerajaan yang dibuka semula membabitkan seramai 29,989 murid dan 1,326 guru.

“Bagi prasekolah swasta pula, terdapat 405 prasekolah membabitkan seramai 24,081 murid manakala guru seramai 1,930 orang,” katanya.

Beliau ditemui media selepas membuat tinjauan di prasekolah SK Buang Sayang Papar, di sini, pagi ini.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Papar, Suhaimi Matshah dan Guru Besar SK Buang Sayang, Basnih Maidin.

Mistrine berkata, terdapat beberapa prasekolah yang masih belum beroperasi di beberapa daerah yang terjejas dengan banjir baru-baru ini.

“Terdapat 18 prasekolah di bawah KPM yang masih belum beroperasi disebabkan banjir yang melanda Sabah baru-baru ini.

“Sebanyak sembilan prasekolah terjejas di daerah Papar, masing-masing empat prasekolah di Kota Belud dan di Beaufort dan di Tenom (satu),” katanya.

Mistrine berkata, pihaknya berpuas hati dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dan ibu bapa memberi kerjasama serta kepercayaan kepada guru.

CATEGORIES
TAGS
Share This