132 penduduk rumah panjang di Sibu jalani ujian saringan COVID

132 penduduk rumah panjang di Sibu jalani ujian saringan COVID

SIBU, 23 Jan — Seramai 132 penduduk dari dua buah rumah panjang di kawasan Bukit Aup, kira-kira 13 kilometer dari pusat bandar di sini hari ini menjalani ujian saringan COVID-19 yang dikendalikan Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu.

Ujian saringan yang melibatkan Rumah Cathrine Tamoh dan Rumah Juna Francis itu dilakukan di Dewan Sekolah Kebangsaan Sungai Aup susulan terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan penghuni di dua rumah panjang tersebut sebelum ini.

Senator Robert Lau Hui Yew yang turut hadir semasa saringan tersebut berkata adalah penting untuk semua penduduk rumah panjang tersebut menjalani ujian saringan itu bagi memastikan status mereka, sama ada bebas daripada pandemik tersebut ataupun sebaliknya.

Beliau turut mengingatkan penduduk rumah panjang berkenaan supaya sentiasa berada di dalam bilik masing-masing dan hanya keluar sekiranya ada urusan penting.

“Ini adalah solusi praktikal untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 terutama dalam kalangan penduduk rumah-rumah panjang,” katanya.

Sementara itu Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun ketika dihubungi berkata keputusan ujian saringan penduduk di dua rumah panjang tersebut dijangka diketahui dalam tempoh dua hari.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This