157 projek pembangunan di Negeri Sembilan masih di bawah status prapelaksanaan

157 projek pembangunan di Negeri Sembilan masih di bawah status prapelaksanaan

SEREMBAN,. Pejabat Pembangunan Negeri (PPNNS) Negeri Sembilan menyenaraikan sejumlah 157 projek dengan kos keseluruhan RM4.49 bilion masih berada di bawah status prapelaksanaan yang melibatkan pelbagai kementerian.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, susulan itu semua jabatan dan agensi di bawah kementerian terlibat digesa lebih serius dan memantau secara proaktif berhubung perkara tersebut, khususnya bagi projek yang telah lama diluluskan dalam Rolling Plan di negeri ini.

“Setiap jabatan dan agensi terlibat perlu mengambil tindakan segera supaya semua projek serta program di peringkat prapelaksanaan dapat dilaksanakan secepatnya dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang bakal berakhir kurang 24 bulan pada tahun depan.

“Ini bagi memastikan objektif pelaksanaan RMK12 dapat dicapai, seterusnya membawa manfaat kepada pertumbuhan sosioekonomi rakyat di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg), di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan negeri turut mengesan empat projek sakit antaranya melibatkan isu pengambilan tanah yang memerlukan masa, bagaimanapun urusan tersebut sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, pada tahun ini, kerajaan Persekutuan meluluskan 280 projek serta program pembangunan untuk dilaksanakan menerusi Rolling Plan 4 (RP4) RMK12 dengan kos keseluruhan RM9.94 bilion dan daripada jumlah itu RM1.16 bilion di salurkan kepada 21 kementerian.

Aminuddin berkata, projek dan program yang diluluskan merangkumi 81 projek baharu dan 199 projek sambungan daripada Rolling Plan sebelum ini.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This