16 ditahan, 444 saman dikeluarkan Operasi Ambang Tahun Baharu

16 ditahan, 444 saman dikeluarkan Operasi Ambang Tahun Baharu

BUTTERWORTH,. Enam belas individu ditahan atas kesalahan jenayah serta narkotik manakala 444 saman berkaitan kesalahan trafik dikeluarkan dalam operasi Op Ambang Tahun Baharu yang di jalankan polis daerah Seberang Perai Utara(SPU) sejak petang semalam hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi bermula 6 petang semalam hingga 4 pagi hari ini yang dijalankan di seluruh daerah membabitkan 223 pegawai serta anggota bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman orang ramai di kawasan tumpuan untuk menyambut tahun baharu terus dijaga.

“Secara keseluruhannya operasi telah berjalan dengan baik dan tiada insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya di sini hari ini.

Katanya 136 saman daripada pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan dalam operasi di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurutnya bagi penugasan Sekatan Jalan Raya dan Ronda Cegah Jenayah, 308 saman berkaitan kesalahan jalan raya dikeluarkan dan menahan 3 lelaki berusia 20-an kerana terlibat kegiatan curi motosikal termasuk seorang daripadanya memang dikehendaki polis bersabit kes curi.

“Selain itu, bahagian Siasatan Jenayah Narkotik juga berjaya melaksanakan pembanterasan berkaitan aktiviti pengambilan dadah dan menahan 12 lelaki berusia 20 hingga 45 tahun kerana positif dadah serta merampas sejumlah dadah daripada mereka,” katanya sepanjang operasi itu polis memeriksa 649 individu dan 527 kenderaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This