18 PTI masuk melalui laluan tikus dikesan penduduk Kg Batu Payung

18 PTI masuk melalui laluan tikus dikesan penduduk Kg Batu Payung

TAWAU,. Sekumpulan pendatang tanpa izin (PTI) cuba menyeludup masuk ke daerah ini melalui jalan tikus gagal selepas kehadiran mereka berjaya dikesan penduduk di perairan Kampung Batu Payung, di sini.

Penduduk kampung yang mendapat maklumat berhubung kemasukan sekumpulan PTI itu bertindak untuk membuat rondaan dan mencari dalam beberapa kumpulan di sekitar persisir pantai kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.

Difahamkan kira-kira 500 meter di kawasan pantai itu, penduduk kampung berjaya mengesan kehadiran sembilan orang PTI yang terdiri daripada tiga lelaki, tiga wanita dan selebihnya kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia tiga bulan dipercayai baharu tiba dari negara jiran.

Misi pencarian PTI oleh penduduk kampung diteruskan sehingga waktu pagi ke kawasan hutan berhampiran dan turut berjaya mengesan sembilan lagi individu termasuk dua wanita dan seorang kanak-kanak di kawasan terbabit.

Seorang penduduk lelaki berumur 36 tahun memberitahu, mereka mendapat maklumat berhubung kehadiran PTI terbabit selepas salah seorang penduduk melihat sebuah bot membawa sekumpulan orang yang tidak dikenali berlabuh di persisir pantai berhampiran kampung.

“Ekoran maklumat itu, penduduk kampung bertindak meninjau kawasan terbabit dan berjaya mengesan kesemua mereka bersama beberapa beg dan bungkusan berisi pakaian bersembunyi di sebuah longkang besar dan hutan berhampiran.

“Kami kemudiannya menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu sebelum menyerahkan semua PTI berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Pondok Polis Bandar Sri Indah, sebelum dihantar ke Pusat Kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau untuk tujuan kuarantin.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan sedang menunggu laporan penuh daripdaa Ketua Polis Daerah Tawau.

–Utusan BORNEO

CATEGORIES
TAGS
Share This