2 gol Barnes, Vardy benam Aston Villa
LEICESTER,. United Kingdom: Harvey Barnes dan Jamie Vardy masing-masing menjaringkan dua gol ketika Leicester memperkukuhkan cabaran mereka ke Liga Juara-Juara musim depan dengan kemenangan 4-0 mengatasi Aston Villa awal pagi tadi.
Skuad kendalian Brendan Rodgers hanya menang satu daripada tujuh saingan terakhir Liga Perdana tetapi masih kekal di tangga ketiga dan mengekalkan kelebihan lapan mata berbanding pasukan kelima, Manchester United dalam pemburuan empat pasukan teratas.
Kekalahan menyebabkan Villa jatuh ke zon penyingkiran dan pelawat nyata sukar untuk menyelamatkan diri mereka berbaki 10 perlawanan musim ini.
Tiada pasukan paling banyak memboloskan gol musim ini dalam Liga Perdana berbanding Villa.
Mudah untuk melihat kenapa Leicester berjaya menghasilkan gol daripada peluang terhidang dan pertahanan longgar serta cubaan bola mati pada awal permainan.
Pepe Reina menghalang cubaan menerusi tandukan Jonny Evans sebelum tandukan Kelechi Iheanacho dan Caglar Soyuncu tersasar.
Reina menakjubkan ketika Villa mengejutkan Leicester untuk mara ke final Piala Liga pada Januari dan keputusan Dean Smith untuk memanggil penjaga gol Sepanyol itu menggantikan Orjan Nyland memakan diri pada lima minit pertama permainan.
Bekas penjaga gol Liverpool itu gagal menghalang kepantasan Barnes yang kekal tenang sebelum meledak ke gawang.
Vardy yang memulakan permainan di bangku simpanan ketika dia kembali daripada kecederaan, hanya bermain 10 minit sebelum menjaringkan gol pertama dalam 10 perlawanan hasil sepakan penalti selepas Tyrone Mings didapati menghalang hantaran Barnes dengan tangan.
Vardy menambah jaringan 11 minit sebelum tamat manakala Barnes juga menambah jaringan peribadi kedua hasil hantaran lintang leret Marc Albrighton. – AFP