2020 lebih baik susulan pencapaian progresif pada 2019 – SKMM

PUTRAJAYA,. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjangka tahun 2020 lebih baik susulan pencapaian progresif pada 2019 dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif utama strategik yang menyumbang kepada transformasi pendigitalan dan kesalinghubungan di Malaysia.

Antara inisiatif utama pada 2019 termasuk pelancaran Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), pameran teknologi generasi kelima atau 5G Malaysia, pengumuman rangka kerja Identiti Digital Kebangsaan serta peristiwa penutupan siaran TV analog yang bersejarah.

“SKMM dapat melaksanakan program dan inisiatif strategik tersebut walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, hasil usaha dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak berkepentingan termasuk orang ramai,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Antara kejayaan pada 2019 ialah pelaksanaan Standard Mandatori untuk Harga Capaian (MSAP) yang mengurangkan harga pakej jalur lebar berkelajuan tinggi lebih daripada 40 peratus, melepasi sasaran awal sebanyak 25 peratus.

“Inisiatif ini memberi manfaat kepada jutaan isi rumah dan perniagaan di Malaysia, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” jelas SKMM.

Menurut SKMM, selain MSAP, penyedia perkhidmatan turut menawarkan kelajuan jalur lebar yang lebih pantas pada harga yang sama atau lebih rendah kepada pelanggan baharu dan sedia ada, sejajar dengan wawasan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo untuk kelajuan jalur lebar berganda pada separuh harga.

Pelan dinamik lima tahun NFCP pula dilancarkan pada 19 Sept lepas bagi memantapkan kesalinghubungan digital negara dan memastikan prasarana penting disediakan untuk menawarkan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, mampu milik dan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia, jelasnya.

Suruhanjaya itu memaklumkan fasa pertama projek NFCP akan dianugerahkan kepada pemegang lesen yang berjaya pada Januari 2020, yang menandakan permulaan pelaksanaan NFCP.

Malaysia, menurut SKMM, telah muncul sebagai peneraju dalam memperkenalkan 5G di rantau ASEAN.

Menurut SKMM, sehingga 30 Sept lepas, projek demonstrasi 5G telah melibatkan sebanyak 55 kes kegunaan di 32 lokasi di enam buah negeri.

“Malaysia berada di landasan yang betul dalam pengkomersialan 5G pada pertengahan tahun 2020, memandangkan peningkatan permintaan untuk kesalinghubungan yang cukup pantas seiring dengan perkembangan ekonomi global,” jelas SKMM.

Pada 2019, inisiatif Identiti Digital Kebangsaan diperkenalkan dan SKMM dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk tampil dengan satu rangka kerja Identiti Digital Kebangsaan yang selamat dan terjamin, membabitkan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan sepanjang tahun.

Suruhanjaya telah melantik firma perunding untuk menjalankan kajian Identiti Digital Kebangsaan yang menyeluruh selama tujuh setengah bulan bermula dari 21 Nov 2019.

“Kajian ini akan tertumpu kepada penentuan model pelaksanaan yang sesuai, analisis manfaat kos, serta pelaksanaan strategi yang akan memanfaatkan kepentingan bersama dalam kalangan rakyat, perniagaan dan kerajaan,” katanya.

Menurut SKMM, penyempurnaan penutupan siaran TV Analog (ASO) di bawah Projek Digitalisasi Penyiaran Nasional juga satu peristiwa yang bersejarah bagi Malaysia.

“Penutupan ASO terakhir di Sabah dan Sarawak pada 31 Okt 2019, menandakan peralihan rasmi daripada siaran TV analog tradisional kepada siaran TV Digital Terestrial (DTT).

ASO bertujuan untuk memenuhi kualiti transmisi televisyen yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. Kira-kira dua juta dekoder myFreeview percuma telah diedarkan kepada penerima B40 terpilih,” katanya.

Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak dalam kenyataan itu berkata SKMM sedar akan cabaran-cabaran baharu dan perkembangan teknologi pengganggu yang akan memberi impak kepada semua sektor.

“Terdapat banyak lagi inisiatif yang kita sedang laksanakan, umpamanya pelaksanaan projek-projek demonstrasi NFCP dan pengkomersialan 5G menjelang suku ketiga 2020.

“Ini adalah pelan terbesar yang bakal menjadi asas kepada kemaraan negara ke dekad seterusnya dan menjadi teras penting kepada Malaysia untuk kekal berdaya saing dari segi aspek ekonomi, sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )