22 pekerja Filipina ditipu rakan senegara dapatkan visa bekerja
GEORGE TOWN,. Sekumpulan pekerja warga Filipina semalam membuat laporan polis selepas mereka ditipu antara RM10,000 hingga RM20,000 oleh seorang wanita juga rakan senegara bagi permohonan visa bekerja di negara ini sejak awal Februari lepas.
Kumpulan pekerja yang terdiri daripada 22 individu itu turut mendakwa visa yang diperoleh daripada wanita berumur 40-an dan telah berkahwin dengan penduduk tempatan itu adalah palsu kerana semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati tiada rekod nama mereka dalam sistem jabatan berkenaan.
Presiden Kumpulan Sokongan Filipina di Pulau Pinang (PSG) Lolita Selges Pranggos, 39, yang mewakili kumpulan pekerja itu berkata sehingga semalam, sebanyak 14 laporan polis telah dibuat oleh mereka dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera ke atas wanita terbabit.
“Saya memang mengenali wanita itu dan selepas didatangi mangsa yang terlibat, saya telah berhubung dengannya kerana mereka (pekerja) mahukan wang mereka semula dan mahu memohon visa bekerja di JIM yang kebanyakannya akan tamat pada penghujung tahun ini, malah ada yang telah tamat serta tinggal secara haram di sini.
“Mereka takut ditahan polis dan diusir balik ke Filipina malah ada antara pekerja tersebut yang membayar wang untuk visa berkenaan hasil pinjaman daripada along…ketika ini ada kalangan mereka tidak dapat bekerja dan diburu.
“Namun, wanita yang menipu mereka itu enggan menyerahkan semula wang mangsa malah mengugut (pekerja Filipina) akan ditahan polis kerana tiada visa,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini semalam.
Lolita yang tinggal di Pulau Pinang sejak 10 tahun lepas dan fasih berbahasa Malaysia berkata aduan berhubung perkara itu turut dibuat kepada Kedutaan Filipina di negara ini dan mereka dimaklumkan ia akan disiasat.
“Mereka yang ditipu itu berusia 30 hingga 55 tahun dan terdiri daripada pekerja pembersihan, penjaga warga emas, penyanyi di kelab malam serta bekerja di pub dan tinggal di negeri ini sejak tiga hingga lima tahun lepas,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa yang dikenali sebagai Dennis, 55, berkata dia telah membayar sebanyak RM10,000 kepada wanita berkenaan untuk memperoleh visa bekerja itu tahun lepas.
“Saya sebenarnya ingin kembali ke Filipina kerana tidak dapat kerja yang sesuai di sini iaitu dalam industri makanan dan minuman yang merupakan kepakaran saya, kemudian saya sedar visa saya palsu, jadi apa perlu saya lakukan sekarang,” katanya yang berada di negara ini sejak 2015.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong ketika dihubungi berkata laporan polis yang dibuat pada Februari telah diambil tindakan dan polis telah menahan wanita Filipina itu, seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Pakistan bagi membantu siasatan.
Soffian berkata kesemua mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara pihaknya melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu sebelum diserah kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
— Bernama