25 atlet Malaysia bakal berentap di Ironman 70.3 Langkawi 2019
KUALA LUMPUR,. Malaysia akan diwakili 25 atlet termasuk tujuh daripada pasukan tentera dalam saingan sukan ekstrem berprestij, Ironman 70.3 Langkawi 2019 pada 26 Okt ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) Datuk Zulkefli Sharif berkata empat atlet dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tiga atlet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara yang berjaya melayakkan diri untuk acara edisi keenam itu.
“Lebih menarik saingan kali ini turut menarik 11 penyertaan dari sektor swasta dan tujuh atlet dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ini membuktikan ramai rakyat Malaysia tidak kira anggota beruniform atau tidak, mempunyai stamina yang tinggi dan bersedia menyertai sukan ekstrem bertaraf antarabangsa,” katanya kepada Bernama selepas sesi taklimat kepada 25 atlet yang menyertai kejohanan tersebut di sini hari ini.
Ini merupakan tahun keenam MyCEB menyokong penganjuran acara Ironman Langkawi daripada aspek kewangan dan teknikal.
Menjelas lanjut, Zulkefli berkata acara yang melibatkan disiplin berbasikal, berenang dan berlari itu dijangka menarik lebih 2,000 atlet antarabangsa dengan 5,590 hadirin secara keseluruhan ke acara tersebut.
“Kita jangka dengan kehadiran mereka (termasuk ahli keluarga dan penyokong atlet serta penonton), acara tahunan yang memasuki edisi keenam itu akan menjana pulangan RM20.9 juta bagi sektor pelancongan sukan berbanding RM16.5 juta tahun lepas.
“Kehadiran mereka ini juga diharap membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi ideal bagi acara sukan bertaraf antarabangsa pada masa hadapan,” katanya.
Lebih menarik Ironman 70.3 Langkawi 2019 juga akan menjadi platform kepada 25 atlet tersebut menempah slot dalam Kejohanan Dunia Ironman di Kailua-Kona, Hawaii pada tahun hadapan.
“Acara ini bukan saja membuka peluang kepada atlet tempatan untuk mendapatkan slot di pertandingan antarabangsa tetapi menjadi platform kepada atlet antarabangsa menjadikan Langkawi sebagai destinasi latihan mereka dalam mempersiapkan diri ke acara di Kailua-Kona,” katanya
Sementara itu, Zulkefli berkata MyCEB telah menyenaraikan lima acara sukan bertaraf antarabangsa lain yang akan disokong badan berkenaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Acara itu ialah Perak Triathlon 2020 (Lumut, Perak), Rimba Raid 2020 (Bentong, Pahang), Fish Tale Global China Pro Challenge 2020 (Kuala Rompin, Pahang), Asia-Pacific Ironman Langkawi (Langkawi) dan empat siri acara Spartan 2020 yang akan diadakan di Putrajaya, Shah Alam, Kuching dan Johor, katanya.
— BERNAMA