30 trak bergerak vaksinasi diaktifkan di Kuala Lumpur

30 trak bergerak vaksinasi diaktifkan di Kuala Lumpur

PUTRAJAYA,. Sebanyak 30 trak bergerak vaksinasi akan diaktifkan, di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan tapak pembinaan di ibu negara, bagi mempercepat proses pemberian vaksin COVID-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata projek rintis trak bergerak vaksinasi itu, akan dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat di kawasan berkepadatan tinggi, serta tapak pembinaan yang masih beroperasi ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, yang bermula hari ini.

Dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini semalam, Khairy berkata setiap trak bergerak itu mampu memberikan 100 suntikan.

Khairy berkata, pendaftaran untuk menerima vaksin COVID-19 telah menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus, iaitu 12,117,091 pendaftaran setakat ini daripada populasi 18 tahun ke atas.

“Pendaftaran meningkat mendadak disebabkan kes COVID-19 meningkat dengan mendadak. Jadi rakyat mempunyai kesedaran untuk dapatkan vaksin sebagai perlindungan, dan ia kini menjadi satu perkara mendesak,” katanya.

Sehubungan itu Khairy berkata, kadar pemberian vaksin di seluruh negara disasarkan 150,000 dos sehari bermula Jun, berbanding kadar vaksinasi di seluruh negara yang mencecah 100,000 dos sehari sejak Khamis lepas (27 Mei).

Beliau berkata, kadar kehadiran untuk menerima vaksin COVID-19 secara puratanya adalah 80 peratus buat masa ini.

“(Baki) 20 peratus yang tidak hadir itu adalah disebabkan pelbagai sebab, antaranya masalah pengangkutan, masalah sambil lewa dan kononnya akan pergi kemudian.

“Kita telah buat keputusan untuk hantar janji temu lebih awal kepada negeri dan daerah. Ini bagi memastikan mereka yang ada janji temu suntikan vaksin akan hadir,” katanya yang menambah sekiranya ada yang tidak hadir, vaksin akan diberikan kepada mereka dalam senarai nama menunggu.

Mengenai perkembangan perolehan vaksin lain dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy berkata vaksin CanSinoBIO dan Sputnik V kini dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Untuk vaksin CanSinoBIO, pihak pembekal telah berikan jawapan kepada semua soalan dan maklumat diperlukan NPRA minggu lepas, dan kita telah minta untuk dipercepatkan,” katanya, manakala bagi Sputnik V, Dr Adham akan menandatangai perjanjian dengan Duopharma Biotech Bhd bagi tujuan perolehan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This