3,919 KIR Di DUN Klias Telah Terima Sumbangan

3,919 KIR Di DUN Klias Telah Terima Sumbangan

BEAUFORT,. Lebih daripada separuh Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri Klias telah menerima sumbangan bakul makanan masing-masing bagi meringankan beban yang mereka hadapi ketika negara berhadapan dengan musibah Covid-19.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Klias Datuk Hajah Johair Matlani berkata setakat kemarin sebanyak 3919 KIR daripada 5824 telah menerima sumbangan tersebut.

“Berlaku sedikit kelewatan kerana bekalan keperluan seperti beras dan lain lain berkurangan di daerah Beaufort selain daripada tenaga kerja yang terhad kerana mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya ketika ditemui di sini kemarin.

Menurut Johair yang juga Ketua Bahagian Warisan Beaufort hanya tinggal beberapa buah kampung termasuk kawasan perumahan yang belum menerima bantuan dan dalam tempoh terdekat ini bantuan akan disampaikan dan berharap mereka bersabar.

“Pihak UPPM Klias giat menguruskan bantuan ini agar tiada pihak yang tercicir menerimanya tanpa mengira kaum,agama dan
fahaman politik,” jelasnya.

Ketika diminta mengulas isu yang hangat diviralkan oleh natizen di media sosial tentang agihan yang tidak berbaloi dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100 untuk satu keluarga, Johair berkata pengarah UPPM pusat telah menjelaskan isu tersebut di mana ianya hanya merupakan garis panduan dan agihan tidak tertakluk kepada garis panduan yang dikeluarkan atas faktor kesesuaian setempat .

“Kita kena faham peruntukan hanya RM100,000.00 untuk satu kawasan berbanding keperluan di mana di DUN Klias saja kita ada sekitar 6,000 orang yang terkesan dengan musibah ini wajar diberikan bantuan, justeru kita cuba selaraskan dan mencari sumber tambahan untuk melengkapkan bantuan yang sedia ada,” katanya.

Sehubungan itu Johiar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Warisan mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan provokasi yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ,sebaliknya bersyukur dengan bantuan yang ada selain mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan tentang PKP agar rantaian Covid-19 dapat ditangani bagi membolehkan rakyat melaksanakan aktiviti seharian seperti sedia kala .

CATEGORIES
TAGS
Share This