399 terima surat hak milik tanah untuk Kampung Semeba dan Kampung Tematu

399 terima surat hak milik tanah untuk Kampung Semeba dan Kampung Tematu

KUCHING: Seramai 399 penerima merangkumi 436 surat hak milik tanah dari dua kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang menerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di sini, hari ini.

Majlis penyampaian surat itu disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Daripada jumlah itu, seramai 300 penerima melibatkan 352 surat hak milik tanah adalah dari Kampung Semeba, manakala 99 penerima melibatkan 111 surat hak milik tanah dari Kampung Tematu.

Berucap pada majlis itu, Abang Johari berkata, pendapatan negeri Sarawak bertambah sehingga RM10 bilion berbanding sebelum ini iaitu RM4 hingga RM5 bilion. “Ia disebabkan cara kita mengurus kewangan dan jangan terlalu boros dalam berbelanja.

“Ia (pendapatan) ada kaitan dengan menyukat tanah dan hari ini saya akan sampaikan 463 surat hak milik tanah kepada penduduk Kampung Semeba dan Tematu,” ujarnya pada Majlis Perasmian Dewan Komuniti Kampung Haji Baki di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, adalah menjadi dasar kerajaan dalam usaha menyukat tanah di negeri ini termasuk di kampung tradisi. “Banyak proses menyukat tanah yang berlaku di Sarawak, namun ia masih belum mencukupi dan proses ini sentiasa dilaksanakan.

“Mengikut statistik Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, dari 2010 hingga Ogos tahun ini, JTS berjaya menyukat perimeter lebih kurang 2.6 juta ekar tanah di seluruh Sarawak.

“Jadi hari ini kita beri surat kepada penduduk di dua kampung ini namun usaha ini (menyukat) tidak berhenti di sini, kerajaan akan teruskan usaha menyukat tanah,” katanya.

Justeru katanya, dari segi kaitan pendapatan yang ada dengan proses menyukat tanah, kerajaan perlu membayar kakitangan yang menyukat tanah di mana pejabat JTS sebelum ini kekurangan orang.

Oleh sebab itu katanya, kerajaan menambah seramai 400 kakitangan JTS untuk menyukat tanah di negeri ini. “Ia bermakna kerajaan perlu manambah perbelanjaan untuk membayar gaji serta membeli barangan untuk menyukat tanah bagi membantu rakyat.

“Bagi tanah tradisi yang disukat di bawah Seksyen 18 dan tidak dibayar premium di mana penduduk akan dapat tanah secara percuma. “Sekiranya disukat di bawah seksyen lain, mereka akan membayar premium dengan harga yang rendah di mana satu lot RM2,500 walaupun harga tanah mungkin lebih RM20,000.

“Bayaran lain daripada jumlah itu, biar Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tanggung,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari menjelaskan bahawa beliau tidak mengetahui tarikh untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan. “Kita tunggu sahaja beduk berbunyi dan saya tidak tahu bila beduk berbunyi,” katanya.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ahmad Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, Residen Kuching Datu Sherrina Hussaini dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Datu Abdullah Julaihi.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )