4 pemain bintang dalam radar Barcelona

4 pemain bintang dalam radar Barcelona

LONDON,. Walaupun berdepan krisis kewangan susulan pandemik COVID-19, namun itu tidak menjadi penghalang buat Barcelona yang dilaporkan bakal berbelanja besar bagi membawa empat pemain berstatus bintang ke Nou Camp.

Media di Sepanyol melaporkan The Catalan dikatakan berminat bagi mendapatkan empat pemain bintang – Neymar, N’Golo Kante, Lautaro Martinez dan Aymeri Laporte.

Difahamkan, jurulatih Barcelona, Quique Setien bersedia untuk melepaskan beberapa pemain daripada skuad utama bagi membolehkan rombakan dilakukan dalam skuad itu.

Philipe Coutinho yang bernilai 142 juta pound (RM771 juta) menjadi pemain pertama dijangka dilepaskan dengan pemain tengah itu dikaitkan akan kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris selepas dipinjamkan ke Bayern Munich.

Menurut laporan Mundo Deportivo, pemain antarabangsa Brazil itu akan ditawarkan kepada Chelsea sebagai pertukaran bagi mendapatkan Kante.

Barcelona juga dilaporkan bersedia melepaskan Ivan Rakitic dan Arturo Vidal.

Vidal dijangka digunakan sebagai pertukaran bagi mendapatkan penyerang Inter Milan, Martinez yang sebelum ini secara terbuka mengakui sudah lama memasang impian bagi menyarung jersi Barcelona.

Barcelona juga mempunyai pilihan untuk melepaskan Antoine Griezmann sebagai pertukaran mendapatkan Martinez selepas bekas penyerang Atletico Madrid itu dilihat tidak serasi bergandingan dengan Luis Suarez.

Malah, Griezmann juga mungkin digunakan sebagai ‘umpan’ bagi Barcelona mendapatkan kembali bintang sensasi Brazil, Neymar daripada Paris Saint-Germain (PSG).

PSG sememangnya berminat dengan Griezmann dan ia mungkin pertukaran yang sempurna buat kedua-dua kelab selepas Neymar menyuarakan keinginannya untuk berpindah pada 2019. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This