46.7 peratus populasi dewasa di Malaysia telah disuntik satu dos vaksin

46.7 peratus populasi dewasa di Malaysia telah disuntik satu dos vaksin

KUALA LUMPUR,. Sejumlah 46.7 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 manakala 21.8 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata pencapaian itu selari dengan sasaran yang ditetapkan dan perlu dipertingkatkan lagi supaya sasaran 26 juta penduduk Malaysia menerima vaksinasi lengkap dapat direalisasikan.

Beliau berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya merekodkan pemberian dos harian lebih 400,000 dos hampir setiap hari sejak 12 Julai lepas dan semalam, kadar vaksinasi harian merekodkan angka tertinggi iaitu 507,050 dos.

“Ini menjadikan jumlah individu yang menerima dos pertama sehingga semalam ialah 10,920,862 dan sejumlah 5,104,054 individu lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Muhyiddin berkata beban kes di hospital dan kes jangkitan yang teruk dapat dikurangkan menerusi vaksinasi, sekali gus menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan terhadap PICK terutama kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan pusat pemberian vaksin (PPV) yang membantu melancarkan pelaksanaan program itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This