50 pelajar tajaan MARA layak ke 30 universiti terbaik dunia
KUCHING,. Seramai 50 orang pelajar MARA yang layak tahun ini, diterima masuk ke 30 universiti terbaik dunia berdasarkan QS Ranking di bawah Program Universiti Terbaik Dunia (WTU).
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, mereka akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang dari peringkat ijazah pertama sehingga ke peringkat kedoktoran/Doktor Falsafah (PhD).
Bersempena dengan itu, satu majlis iaitu Majlis Ramah Mesra Pengerusi MARA bersama Pelajar Program WTU yang dihadiri pengerusinya Datuk Azizah Mohd Dun bersama pelajar yang ditawarkan mengikuti program WTU.
“WTU merupakan program penajaan pelajaran MARA yang memberi peluang kepada pelajar cemerlang untuk mengikuti pengajian dalam dan luar negara.
“Sejak diperkenalkan pada tahun lepas, seramai 31 orang pelajar telah mengikuti pengajian di bawah program ini,” menurut kenyataan.
MARA telah melaksanakan program penganjuran pelajaran sejak tahun 1966 dan hingga kini telah menaja seramai 1.35 juta orang pelajar dalam dan luar negara.
Pada tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi tujuan program penganjuran pelajaran yang dijangka memberi manfaat kepada 50,000 orang pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian.
Selain daripada WTU, MARA turut menawarkan pelbagai program lain di bawah Bahagian Penganjuran Pelajaran seperti Program Pembangunan Bakat Muda (YTP), Program Tajaan Pendidikan Tinggi (TESP),Program Pelajar Cemerlang IPMA (IESP), Program Graduan Cemerlang (GrEP), Program Pembangunan Profesional (Pro-P), Program Pembangunan Bakat (TDP), Program Perantis MARA (MAP), Program Hibrid Tajaan Pendidikan MARA (MESH) dan Program Pendidikan Tajaan Lanjutan (A-SEP).
“MARA sentiasa membuka peluang kepada pelajar Bumiputera yang cemerlang untuk melanjutkan pengajian di universiti terbaik dunia.
“Pendedahan kepada persekitaran yang kondusif akan melahirkan pelajar yang mampu bersaing sekaligus mewujudkan jaringan antarabangsa,” katanya lagi.