
500 pelajar UiTM Sarawak terima bantuan awal pengajian dari Yayasan Bank Rakyat
KOTA SAMARAHAN, 16 Okt — Seramai 500 pelajar baharu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak hari ini menerima bantuan awal RM1,000 setiap seorang daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Bantuan yang berjumlah RM500,000 itu disampaikan melalui cawangan Bank Rakyat di sini dan majlis penyerahan itu dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Jubli UiTM Kampus Samarahan di sini.
Wan Junaidi berkata bantuan itu diberikan kepada pelajar dalam kalangan keluarga yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dan telah menerima tawaran kemasukan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
“Bantuan awal pengajian yang berobjektifkan membantu pelajar daripada keluarga dalam kalangan B40 ini bertujuan memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata penyerahan bantuan awal pengajian seterusnya akan diberikan kepada 1,500 pelajar UiTM yang terpilih di Semenanjung berjumlah RM1.5 juta.
Wan Junaidi turut mengingatkan pelajar agar tidak menjadikan masalah kewangan sebagai alasan yang menyebabkan mereka tercicir dalam pendidikan atau malas untuk memajukan diri.
“Saya percaya bantuan kewangan untuk pendidikan ini merupakan satu pelaburan tidak ternilai kerana tiada negara kaya dengan ilmu menjadi miskin dan tiada negara miskin ilmu menjadi kaya kerana pendidikan merupalan senjata paling penting yang boleh mengubah dunia,” katanya.
Beliau berkata kementerian juga merancang beberapa program dan bantuan kewangan bagi melatih siswazah dalam bidang keusahawanan dan berharap ia mendapat peruntukan dalam Belanjawan 2021.
Menurutnya, terdapat lebih 300,000 siswazah setiap tahun yang memerlukan pekerjaan dan meminta mereka untuk menceburi bidang keusahawanan.
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Sarawak Prof Datuk Dr Jamil Hamali berharap pihak Yayasan Bank Rakyat akan meneruskan pemberian bantuan tersebut pada masa akan datang.
— BERNAMA