59 lagi PPV dijangka beroperasi di N.Sembilan bulan depan – Aminuddin

59 lagi PPV dijangka beroperasi di N.Sembilan bulan depan – Aminuddin

SEREMBAN,. Sebanyak 59 lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 di seluruh Negeri Sembilan dijangka beroperasi menjelang bulan depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata penambahan lebih banyak PPV berkenaan di negeri itu bertujuan memudahkan pemberian vaksin kepada orang awam sekali gus memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan dengan baik dan lancar.

“Lokasi PPV berkenaan termasuk di Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Jelebu,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya malam tadi.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menyeru seluruh rakyat di negeri itu untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin melalui aplikasi MySejahtera supaya dapat membentuk imuniti kelompok sekali gus membendung pandemik COVID-19 daripada terus merebak.

Jelasnya, seramai 452,823 individu atau 53.31 peratus daripada jumlah penduduk di negeri itu telah mendaftar untuk menerima vaksin setakat ini.

Hari ini, Negeri Sembilan merekodkan 520 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di negeri berkenaan sebanyak 24,686 kes.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )