5G tetap jadi produk utama di pasaran Eropah, kata Huawei
BRUSSELS,. Huawei tidak menolak kemungkinan rangkaian Internet 5G akan tetap menjadi produk utamanya di pasaran Eropah meskipun menerima tekanan akibat sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Sputnik.
AS menuduh Huawei bekerjasama dengan tentera dan ejen rahsia China serta menggunakan peralatannya untuk mengintip. Washington turut memaksa negara lain tidak menggunakan peralatan dan infrastruktur 5G Huawei.
Syarikat China itu menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkan ia sebagai amalan anti-persaingan tidak adil dan bermotifkan politik.
“Saya fikir syarikat itu “sangat optimis” mengenai prospeknya di benua itu biarpun menerima sekatan AS,” kata wakil Huawei bagi Kesatuan Eropah, Abraham Liu.
“Saya fikir, 5G pasti menjadi infrastruktur maklumat masa depan, setiap maklumat akan dibawa oleh rangkaian 5G. Sebab itulah AS mungkin gusar – kerana mereka mempunyai beberapa kekurangan asas, dan berada di kedudukan kebelakang dalam perlumbaan 5G,” katanya.
Menurut Liu, AS bimbang “mereka akan ketinggalan” dalam teknologi ini, sedangkan keadaan itu berlaku disebabkan perbuatan Washington sendiri.
Sebagai sebahagian sekatan terhadap gergasi teknologi China itu, pada Mei Washington menyenaraihitamkan Huawei dan 70 syarikat di bawahnya dilarang membeli teknologi serta menjalankan perniagaan dengan syarikat AS tanpa kebenaran kerajaan.
— BERNAMA