60 peratus jalan persekutuan sudah capai tempoh luput, perlu diperbaiki – Fadillah

60 peratus jalan persekutuan sudah capai tempoh luput, perlu diperbaiki – Fadillah

PUNCAK ALAM,. Kira-kira 60 peratus Jalan Persekutuan di negara ini sudah rosak atau luput tempoh hayatnya dan perlu diperbaiki dengan keperluan peruntukan kira-kira RM3 bilion, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata memandangkan peruntukan yang tinggi diperlukan, pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan syarikat konsesi selain mendapatkan maklum balas dari semua kementerian mengenai hala tuju pembinaan dan pembaikan semula jalan yang sudah luput tempoh hayat itu.

“Sebab itu, kita nak bekerjasama dengan beberapa pihak dan pendekatan kita adalah pelbagai namun yang penting kita kena bina baharu (jalan) supaya keselesaan serta keselamatan jalan itu terjamin kepada pengguna,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Fadillah menghadiri majlis tawaran cabutan kerja undi bagi Kerja-kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen Di Bawah Kontrak Penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia 2022.

Mengenai majlis yang diadakan hari ini, beliau berkata sejumlah RM130 juta peruntukan tambahan telah diluluskan Kementerian Kewangan bagi Kerja-kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen Di Jalan Persekutuan seluruh negara secara one-off pada 13 Sept lepas.

Katanya kelulusan peruntukan tambahan ini adalah bukti komitmen kerajaan Persekutuan yang prihatin dalam isu berkaitan penyenggaraan infrastruktur negara, khususnya jalan raya seterusnya membuka peluang perniagaan kepada kontraktor kecil khususnya gred G1 hingga G4.

Beliau berkata semua peruntukan telah selesai ditawarkan kepada kontraktor di negeri semenanjung melalui 180 kerja bernilai RM113 juta dan RM17 juta lagi disalurkan kepada kontraktor di Sabah, Sarawak dan Labuan melalui 17 kerja.

“Kesemua kerja-kerja ini dianggarkan dapat disiapkan dalam tempoh sebulan setengah atau pada November depan,” katanya sambil mengingatkan para kontraktor khususnya dalam kalangan bumiputera dari gred G1 ke G4 agar tidak bergantung harap kepada kontrak kerja atau projek kerajaan semata-mata.

“Kalau kita melihat konteks di negara kita, lebih banyak sebenarnya adalah kerja-kerja yang disumbangkan pihak swasta berbanding di peringkat kerajaan yang tidak sampai 30 peratus daripada pembangunan keseluruhan projek pembinaan di negara kita.

Justeru katanya Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan memastikan para kontraktor tersebut diberi latihan dan dihubungkan dengan pihak swasta supaya mereka diberi peluang perniagaan.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga sedang melihat sistem agihan kerja yang pelbagai bagi memastikan semua kumpulan kontraktor dapat merasai peluang yang diwujudkan kerajaan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This