6,000 pengunjung banjiri MITEC untuk program Lan Berambeh Anak Sarawak

6,000 pengunjung banjiri MITEC untuk program Lan Berambeh Anak Sarawak

KUALA LUMPUR,. Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini dipenuhi lebih 6,000 pengunjung bagi menyertai program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2022 bagi edisi ke-14, semalam.

Pada program berkenaan, tumpuan diberikan kepada pameran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang akan memacu pembangunan di Sarawak.

Di MITEC, terdapat 28 reruai pameran disediakan oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta swasta untuk manfaat pengunjung.

Hadir pada program tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, penyandang Parlimen Batang Sadong Dato Sri Nancy Shukri, penyandang Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan penyandang Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting serta tetamu kehormat yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LBAS 2022 ialah Dato Sri Fadillah Yusof dan program itu merupakan kerjasama antara Persatuan Sukarelawan Sarawak, kerajaan Sarawak dan Pejabat Perhubungan Sarawak, Kuala Lumpur.

Sementara itu, petang ini bakal berlangsung agenda Sarawak iaitu sesi dialog awam antara pengunjung dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Acara kemuncak LBAS 2022 iaitu Majlis Makan Malam Anak Sarawak bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan barisan kepimpinan negeri Sarawak dijangka berlangsung mulai jam 7.30 malam nanti.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )