77.9 peratus responden setuju konsep Keluarga Malaysia jaga keharmonian, perpaduan kaum

77.9 peratus responden setuju konsep Keluarga Malaysia jaga keharmonian, perpaduan kaum

KUCHING,. Seramai 77.9 peratus responden bersetuju bahawa konsep Keluarga Malaysia adalah amat baik dalam menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

Ia menurut kajian ‘Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan Dan Dasar Keluarga Malaysia’ oleh ILHAM Centre yang dilaksanakan selama tiga minggu bermula 20 Oktober hingga 6 November 2022 melibatkan kaji selidik secara tatap muka di lapangan.

Menurut kenyataan Panel Penyelidikan ILHAM Centre pada Khamis, lebih dari separuh responden (59.5 peratus) mengakui bahawa inisiatif, bantuan dan dasar Keluarga Malaysia telah memberi manfaat kepada mereka dan ahli keluarga.

“Selain itu, sebanyak 49.9 peratus menyatakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai misi jelas dalam mengutamakan kebajikan rakyat. Ini dizahirkan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang membawa manfaat secara bersasar dan komprehensif bagi meringankan beban rakyat.

“Namun, melihat kepada usaha kerajaan melalui Pasukan Jihad Tangani Inflasi mampu membendung kenaikan harga barangan, hanya dipersetujui sebanyak 46.4 peratus.

“Ini menunjukkan kerajaan masih berada di peringkat awal dan sedang mengatasi isu harga barangan yang dihadapi oleh pengguna,” kata kenyataan tersebut.

Menurutnya, hasil kajian juga mendapati secara umum, rakyat menerima idea-idea dasar Keluarga Malaysia sebagai wadah perpaduan.

Katanya, sebanyak 75.8 peratus bersetuju bahawa semangat Keluarga Malaysia mampu mengekalkan keamanan dan kerukunan, malah 58.5 peratus bersetuju bahawa Keluarga Malaysia juga mampu mencegah perpecahan kaum di Malaysia.

“Ini menunjukkan secara asasnya, rakyat menerima polisi dan dasar kerajaan yang baik dalam konteks menjaga keharmonian kaum bersesuaian dengan kemajmukan rakyat di Malaysia.

“Pencapaian tertinggi diperolehi sebanyak 82.5 peratus terhadap program JaminKerja dan Diskaun Saman PDRM,” katanya.

Selain itu katanya, rakyat amat mengalu-alukan perkara yang melibatkan pemberian ‘one-off,’ subsidi potongan harga saman dan bantuan kerajaan kerana dapat meringankan beban mereka dalam kos sara hidup.

“Bagaimanapun hanya 30 peratus yang pernah menghadiri secara fizikal Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia. Ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor lokasi penganjuran yang bertumpu di kawasan utama.

“Ini menandakan bahawa program Aspirasi Keluarga Malaysia harus diteruskan dan diperluaskan hingga sampai ke seluruh peringkat akar umbi,” katanya.

Kajian itu melibatkan seramai 1,211 responden yang memberikan kerjasama mengisi borang kaji selidik proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini melibatkan seluruh negeri di Semenanjung Malaysia yang dipilih secara persampelan rawak berstrata.

Responden yang diperolehi meliputi semua segmentasi jantina, kaum, peringkat umur, latar belakang ekonomi, tahap pendidikan yang pelbagai, julat pendapatan dan lokaliti yang berbeza.

Pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini telah dilaksanakan dengan semua responden yang ditemui dapat menyempurnakan borang kaji selidik dengan jayanya.

Menurut kajian itu lagi, penilaian persepsi rakyat kepada dasar Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Ismail Sabri secara umumnya disambut baik walaupun sebahagiannya masih lagi belum jelas sama ada hala tuju negara menerusi dasar ini mampu memberi manfaat kepada mereka secara spesifik.

Dengan perakuan ini, responden memberikan peratusan memuaskan terhadap pelaksanaan dasar Keluarga Malaysia walaupun hanya 13 bulan mentadbir negara selaku Perdana Menteri.

“Ini kerana, apabila negara melangkah masuk ke fasa endemik, trauma mereka masih lagi berbekas ketika mana mereka berdepan dengan kehilangan punca pendapatan, hilang pekerjaan sehingga segelintir mengibar bendera putih kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilalui selama lebih dua tahun.

“Selain itu, dari aspek politik pula, drama politik berebut teraju kekuasaan menyebabkan rakyat sangat letih dengan pertembungan kuasa yang berlaku,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kesan perebutan kuasa itu menyebabkan peratusan penyertaan yang begitu rendah dalam dua siri Pilihan Raya Negeri yang berlangsung di Melaka dan Johor.

Justeru katanya, kehadiran Ismail Sabri, watak Perdana Menteri yang tidak membawa pendekatan jalur keras, kurang kontroversi serta menghargai peranan parti pembangkang menyebabkan suhu politik tempatan menjadi reda.

“Maka, apabila dasar Keluarga Malaysia diperkenalkan, rakyat terbanyak menerimanya dengan baik. Kaum Melayu, masyarakat di luar bandar dan pedalaman menerima dasar ini adalah untuk meletakkan kembali Malaysia ke landasan yang tepat,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This