85 peratus daripada 877 aduan awam berjaya diselesaikan JPP Sabah : Bung

85 peratus daripada 877 aduan awam berjaya diselesaikan JPP Sabah : Bung

KOTA KINABALU: Sebanyak 877 aduan awam diterima Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) Sabah sehingga Disember tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 85 peratus aduan awam telah berjaya diselesaikan manakala baki 15 peratus sedang dalam proses untuk diselesaikan.

Berikutan itu, Bung meminta supaya warga kerja JPP Sabah supaya menggandakan usaha dan komitmen untuk memantapkan lagi operasi pembetungan di Sabah agar lebih lancar dan terurus sekaligus menjamin kesejahteraan rakyat.

Disamping itu, kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga sistem pembetungan juga agak kurang dan JPP Sabah perlu mengambil pendekatan sesuai selari dengan cabaran semasa untuk meningkatkannya.

“Kesedaran orang awam juga amat penting tentang kesan dan akibat daripada pembuangan sampah, lemak, gris dan minyak ke dalam sistem pembetungan kerana ia menyumbang kepada masalah pembetungan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2020 yang diadakan dekat sini malam kelmarin.

Turut hadir Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Mohd Jasmin Julpin; Pengarah Perkhidmatan Pembetungan, Jennieve Peter dan Timbalan Pengarah Sektor Operasi dan Senggara, Ir Mohd Nadzree Imran serta barisan Ketua-Ketua Penolong Pengarah, Ketua Bahagian JPP Sabah dan Jurutera-Jurutera Pembetungan Bahagian dan Pegawai-Pegawai Kerja Pembetungan Daerah.

Dalam pada itu, Bung memberitahu antara punca yang turut menyumbang kepada permasalahan sistem pembetungan sehingga menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan lebih efisen adalah kerana terdapat beberapa aset pembetungan yang sudah uzur.

Beliau memberitahu, sistem pembetungan di Sabah yang sangat uzur dan ada sebahagian tidak berfungsi sepenuhnya memerlukan dana untuk dipulihkan dan dinaiktaraf bagi memastikan ianya dapat berfungsi seperti yang dirancang.

Justeru, perancangan yang sistematik bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang perlu disediakan dan dilaksanakan oleh JPP Sabah bagi memastikan Hala Tuju, Visi dan Misi jabatan tercapai.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung juga mahu JPP Sabah menstruktur semula jabatan berkenaan dengan meningkatkan lagi sumber manusia memandangkan jumlah aset pembetungan sentiasa bertambah mengikut kepesatan pembangunan di Sabah.

Ianya penting kerana ia bukan sahaja dapat memperkasakan lagi struktur organisasi JPP Sabah tetapi juga mampu mengoptimumkannya sekaligus memelihara kualiti persekitaran dengan baik dan pada masa sama melindungi kesihatan awam serta melindungi sumber air semula jadi.

Selain itu, Bung juga mahu JPP Sabah melaksanakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang dikongsikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam aspek pembetungan di negeri Sabah bagi meningkatkan kehidupan rakyat menjelang tahun 2030 nanti.

“Selain daripada ‘Clean Water and Sanitation’ SDG juga meletakkan ‘Responsible Consumption and Production’ sebagai salah satu matlamat yang perlu dicapai oleh sesebuah Negara.

“Antara aspek yang perlu diambil kira oleh JPP Sabah dalam pembangunan pembetungan adalah seperti Penjimatan Tenaga, Teknologi Hijau dan lain-lain lagi.

“Seperti contoh, melalui penyelidikan pembangunan dan inovasi teknologi rawatan kumbahan, JPP Sabah seharusnya memulakan pelaksanaan sistem kitar semula hasil bi-produk kumbahan bagi tujuan kegunaan industri, pembuatan baja, penyenggaraan landskap, pembersihan dan penjanaan sumber tenaga baharu, ” katanya.

-Agensi

CATEGORIES
Share This