AADK sasar 155 kawasan berisiko untuk dihijaukan menjelang 2025

AADK sasar 155 kawasan berisiko untuk dihijaukan menjelang 2025

BATU PAHAT, 5 Okt — Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan semua 155 kawasan berisiko di seluruh negara yang mempunyai masalah berkaitan penyalahgunaan dadah untuk ‘dihijaukan’ menjelang tahun 2025.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata sebagai permulaan, sebanyak 12 kawasan telah dikenal pasti tahun lepas yang dikenali sebagai Kawasan Inisiatif Bersepadu (KIB) dan dua daripadanya terletak di negeri Johor.

Beliau berkata KIB itu ialah Parit Sulong di Batu Pahat dan Tampoi di Johor Bahru di mana matlamat utama program rintis ini adalah untuk menjadikan kawasan terlibat bersih dan sejahtera daripada isu penyalahgunaan dadah serta pelencongan sosial.

“Untuk rekod AADK di seluruh negara, terdapat lebih kurang 60,000 individu terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan sebahagiannya kini dalam proses pemulihan termasuklah yang terlibat dalam program Orang Kena Pengawasan (OKP)

“Jumlah OKP di seluruh negara adalah seramai 19,737 dan 4,833 individu terbabit berada di negeri Johor,” katanya dalam program Ngopi Bersama Komuniti AADK Daerah Batu Pahat di Restoran O’Dapur Noor di sin, hari ini.

Hadir sama Pengarah AADK Negeri Johor Azli Ubin serta penyanyi yang juga ikon AADK, Ameng Spring.

Zulkifli berkata program KIB, yang turut melibatkan masyarakat setempat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mula membuahkan hasil apabila empat daripada 12 kawasan ‘merah’ yang dipilih sebagai rintis telah menjadi kawasan kuning, termasuk di Parit Sulong.

Beliau berkata program itu akan diteruskan sehingga keseluruhan 155 kawasan berisiko menjadi hijau dengan beberapa penambahbaikan pengisiannya dari semasa ke semasa.

“Setiap tahun, kita akan cari pendekatan berbeza untuk memulihkan kawasan berisiko ini menjadi kawasan yang bebas daripada pengaruh penyalahgunaan dadah.

“Kita akan menyasarkan program yang sesuai termasuklah menggunakan pendekatan di media sosial yang lebih menarik sebagai medium penyampaian kepada bahaya penyalahgunaan dadah terutama kepada generasi muda,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This