Abbott dakwa MH370 sengaja ditenggelamkan

SYDNEY,. Bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, mendakwa, ‘pemimpin kanan’ Malaysia percaya bahawa pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) sengaja ditenggelamkan juruterbang pesawat dalam misi membunuh diri.

Pesawat terbabit ghaib pada 8 Mac 2014 dengan membawa 239 penumpang dan kru, sebahagian besarnya dari China, dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing.

Ia gagal ditemui sepanjang misi mencari digerakkan di Lautan Hindi, membabitkan kawasan seluas 120,000 kilometer persegi, termasuk pencarian di dasar laut, sebelum akhirnya digantung pada Januari 2017.

Sebuah firma penerokaan persendirian dari Amerika Syarikat (AS) melancarkan misi mencari pada 2018, namun membatalkan proses tidak lama selepas itu apabila segala usaha menjelajah dasar laut menemui kegagalan.

Kehilangan MH370 sekian lama dijadikan topik teori konspirasi, bermula dari hujah meyakinkan hingga yang tidak masuk akal, termasuk dakwaan kononnya juruterbang bertugas, Kapten Zaharie Ahmad Shah, sengaja menjatuhkan pesawat terbabit.

Dalam satu petikan dokumentari terbitan Sky News yang disiarkan Rabu, Abbott mendakwa beliau diberitahu demikian selepas seminggu kejadian menggemparkan itu berlaku.

“Saya difahamkan oleh pemimpin atasan Malaysia bahawa sejak dari mula lagi, andaian mereka ialah kejadian ini sebenarnya satu perbuatan bunuh diri oleh juruterbang bertugas.

“Saya tidak akan dedahkan siapa pegawai itu, namun sekali lagi saya tegaskan, pegawai atasan Malaysia percaya ia adalah satu kejadian bunuh diri oleh juruterbang,” katanya.

Keluarga dan rakan-rakan Zaharie menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

Pada 2016, kerajaan Malaysia mendedahkan bahawa Zaharie ada mencipta laluan penerbangan merentasi Lautan Hindi, pada simulasi penerbangan yang terdapat di rumahnya, namun menegaskan bahawa ia tidak boleh dijadikan bukti.

Laporan akhir tragedi yang dikeluarkan pada 2018 menyebut bahawa kegagalan kawalan trafik udara adalah punca nahas dan laluan penerbangan itu ditukar secara manual.

Mereka bagaimanapun gagal menghasilkan sebarang rumusan yang benar-benar meyakinkan, sekali gus mendatangkan kemarahan kepada kaum keluarga dan waris mangsa.

Turut berada dalam pesawat itu ialah enam penumpang rakyat Australia, dengan empat daripadanya berasal dari Queensland. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )