Abdul Karim cadang tambah baik tapak warisan di bandar raya Kuching
KUCHING: Beberapa lokasi tapak warisan dalam bandar raya Kuching dicadang untuk ditambah baik bagi keselesaan pengunjung tempatan atau pelancong luar, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurutnya, pihaknya kini turut melihat kemungkinan untuk menyediakan lebuh pejalan kaki.
“Lebuh ini kita khaskan untuk kegunaan pelancong dan pengunjung dan tidak ada kenderaan yang akan melalui kawasan itu kecuali lori yang membawa muatan barang untuk diturunkan ke kedai-kedai pada satu-satu masa yang terhad.
“Ia sepertimana yang terdapat di Chinatown di Singapura, George Town di Pulau Pinang dan Jonker Walk di Melaka, jarak perjalanan juga tidak begitu jauh,” katanya pada sidang media selepas pelancaran buku dan video Bazar Lama Kuching: Program Pemetaan Budaya dan Promosi Pelancongan di sini hari ini.
Pihaknya juga akan melihat cadangan untuk menyediakan bangunan warisan yang tidak pernah diubah suai agar lebih mesra pengguna orang kelainan upaya (OKU) dan warga tua. Abdul Karim turut menegaskan, pihaknya juga melihat penubuhan jawatankuasa atau sebuah agensi untuk menjaga kebajikan atau menguruskan kewangan perniagaan senja seperti bot penambang di sini.
“Pengusaha sampan atau penambang yang merupakan industri senja biasanya dikendalikan oleh orang-orang tua dan jika ia dikendalikan secara bersendirian, warisan itu akan hilang. “Adalah lebih baik jika ada agensi yang boleh menjaga sepertimana yang dilakukan kepada pengusaha feri di negeri ini. Pihak kita akan melihat kepada perkara ini,” tegasnya lagi.
Sementara itu, menyentuh berkenaan Bazar Lama Kuching: Program Pemetaan Budaya dan Promosi Pelancongan, beliau mahu usaha yang sama dipanjangkan ke Lebuh India serta sepanjang Jalan Padungan.
Menurutnya, pengekalan warisan yang telah wujud sejak 1800-an itu melibatkan perniagaan komuniti Cina seperti 24 buah kedai emas dan beberapa premis tukang ayan dan makanan.
Projek Program Pemetaan Budaya dan Promosi Pelancongan dilaksanakan oleh Persatuan Komuniti Pasar Lama Kuching pada tahun 2019 merangkumi buku sejarah tentang kisah hidup orang kebiasaan di Kuching dan 4 brosur pelancongan, 5 promosi video, 40 plak maklumat dengan kod QR, laman web Kuching Old Bazaar dan media sosial.
Awalnya, Main Bazaar itu di sini dikenali sebagai Jalan Attap (kerana penggunaan nipah pada bangunan), namun pada tahun 1884 terdapat kebakaran yang meranapkan 160 buah kedai di sepanjang jalan berkenaan.
Rumah-rumah kedai di situ kemudian dibina semula dengan batu-bata, struktur sama masih berdiri sehingga ke hari ini dan nama jalan ditukar kepada Lebuh Carpenter untuk mencerminkan banyak bengkel kerja kayu di kawasan itu.
Keselamatan di dalam kawasan warisan di dalam bandar raya Kuching turut dijamin dengan adanya rondaan dan pemantauan berkala yang dijalankan pasukan keselamatan.
Turut hadir Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Hii Chang Kee dan Pengerusi Persatuan Komuniti Pasar Lama Kuching, Kapitan Lim Chuan Chan.
-UtusanBorneo