Abdul Karim: Pencapaian Pandelela sangat membanggakan

Abdul Karim: Pencapaian Pandelela sangat membanggakan

KUCHING,. Walaupun gagal memenangi pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 namun pencapaian dan semangat juang penerjun negara Pandelela Rinong sewajarnya dipuji, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata Pandelela juga telah membuktikan kemampuannya yang bertaraf dunia apabila memenangi pingat gangsa dan perak pada dua Sukan Olimpik sebelum ini.

“Kita sedih apabila Pendelela gagal untuk menang pingat (di Sukan Olimpik Tokyo) tetapi beliau berjaya sebagai alet Sukan Olimpik dan berjaya layak ke peringkat akhir, ia adalah pencapaian yang sangat-sangat besar dan kita sangat bangga dengan pencapaian beliau,” katanya selepas menghadiri sesi pertemuan dengan atlet-atlet Program Pembangunan Atlet Sarawak di sini, hari ini.

Abdul Karim juga percaya atlet berketurunan Bidayuh dari Kampung Jugan, Bau itu masih mampu beraksi untuk beberapa tahun lagi untuk terus mewakili negara dalam sukan terjun.

Sementara itu, Abdul Karim berkata kementeriannya juga sedang berbincang dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Curtin untuk menawarkan peluang pengajian kepada atlet dan bekas atlet Sarawak.

Beliau turut menggesa pihak majikan supaya memberi keutamaan kepada bekas atlet Sarawak dalam penawaran peluang pekerjaan di jabatan, agensi atau syarikat masing-masing sebagai menghargai jasa dan pengorbanan yang dicurahkan kepada negeri dan negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )