Ada cubaan ‘membeli’ wakil rakyat kita – Mohd Shafie

KOTA KINABALU,. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menempelak tindakan pemimpin pembangkang yang cuba melobi wakil rakyat Parti Warisan Sabah (Warisan) meninggalkan parti itu.

Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan memberitahu, tindakan (melobi) pemimpin terbabit dimaklumkan sendiri oleh wakil rakyat berkenaan.

“Saya sudah nyatakan, kalau ada yang telah dihubungi, sebutkan nama mereka, seperti Yang Berhormat Datuk Mohamadin (Ketapi), telah difahamkan oleh beliau, (Datuk Seri) Anifah Aman ada berhubung dengan beliau tiga kali.

“Saya tanya, u sure? saya tahu suara dia, saya tahu telefon number dia Datuk Seri, saya kenal dia (kata Mohamadin) … Ini sangat jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan, UPKO dan PH di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) Kota Kinabalu, pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai usaha dan tindakan membeli wakil rakyat itu, Mohd Shafie yakin semua wakil rakyat kerajaan mempunyai jiwa yang kental untuk berdiri teguh bersama Warisan.

“Saya yakin dengan pendirian mereka. Bila kita berdiri teguh, akan ada tekanan yang cuba menggugat kita. Kita tidak akan terkejut jika mereka (pembangkang) akan menggunakan pelbagai cara untuk melemahkan semangat kita,” jelasnya.

Tambah Mohd Shafie, dengan pendedahan itu, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut seperti membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Dalam majlis itu, dua Ahli Parlimen Warisan iaitu, Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohamadin Ketapi dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman tidak hadir.

Mohamadin kini berada di Kuala Lumpur atas urusan pindah rumah manakala Azis mempunyai temu janji doktor.

Mohd Shafie dalam pada itu menjelaskan, antara intipati pertemuan dengan ahli parlimen dan ADUN pada petang tersebut adalah menyatakan sokongan kepadanya selain membangkitkan kesediaan mereka menghadapi cabaran seperti tekanan pihak lawan melalui pembabitkan kes mahkamah, isu lompat dan hal-hal lain.

CATEGORIES
TAGS
Share This