Aduan bersifat umum sukarkan siasatan KPDNHEP

Aduan bersifat umum sukarkan siasatan KPDNHEP

SIBU,. Aduan bersifat umum berkaitan isu bekalan mahupun harga barangan pengguna tidak membantu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menentukan kesahihan sesuatu isu.

Justeru, menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengalu-alukan sebarang aduan berkaitan barangan pengguna dengan berasaskan fakta menerusi tujuh saluran yang disediakan bagi membolehkan tindakan dilakukan.

“Biarlah buat aduan berasaskan fakta. Jangan suka-suka mengatakan ada masalah dan membuat laporan tanpa berfakta, (masalah) tidak berlaku atau (laporan dibuat) secara rambang. Itu tidak membantu dalam siasatan kami,” katanya selepas melawat sebuah gudang milik syarikat pemborong di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai orang ramai yang gemar membuat aduan mengenai harga minyak masak yang tinggi melalui platform media sosial berbanding menggunakan saluran disediakan kementeriannya.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata setiap aduan yang dibuat akan disusuli dengan siasatan oleh anggota KPDNHEP beruniform, Pegawai Pemantau Harga (PPH) atau Pegawai Kepenggunaan yang dilantik di setiap kawasan parlimen di seluruh negara.

Beliau berkata tugas di lapangan bagi memantau bekalan mahupun harga barangan pengguna sememangnya dilaksanakan setiap masa.

Sementara itu, beliau berkata pada lawatan hari ini mendapati tiada masalah dari segi bekalan minyak masak paket 1 kilogram (kg) bersubsidi atau minyak masak botol 5kg tidak bersubsidi di gudang pemborong barangan import itu.

“Satu jenama minyak masak yang diedarkan dari sini harga runcitnya adalah RM39 untuk botol 5kg. Ini petanda baik kerana harga minyak sawit mentah di pasaran global pada ketika ini sudah turun,” katanya.

Kementeriannya dan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi telah meminta supaya pemain industri meletakkan harga patut terhadap minyak masak berikutan penurunan harga minyak sawit mentah dunia.

“Ini tidak harus diletakkan di bahu pihak pemborong sahaja malah pihak kilang penapisan perlu berbuat perkara sama agar harga minyak masak runcit turun,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This