Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Ismail Salam

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ismail Salam, yang meninggal dunia pagi ini di Brunei.

Ismail, 51, merupakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, pengsan di kediamannya dan disahkan meninggal dunia pada 8.33 pagi.

“Seri Paduka berdua menzahirkan rasa simpati dan sedih kepada keluarga Allahyarham Ismail dan menzahirkan harapan agar keluarganya tabah menghadapi suasana pilu serta dugaan daripada Allah SWT.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah pernah bertemu Allahyarham Ismail, yang memegang jawatan itu sejak Februari 2019, ketika lawatan khas Seri Paduka Baginda berdua ke Brunei pada Februari dan Lawatan Negara pada Ogos lepas.

Lawatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke Brunei adalah Lawatan Negara pertama Seri Paduka sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Allahyarham Ismail meninggalkan balu Rosita Ismail dan dua anak Nur Hidayah, 23, dan Haziq, 21 yang sedang menuntut di Hungary.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )