Agong temu bual Ahli Parlimen dapatkan maklum balas situasi politik

Agong temu bual Ahli Parlimen dapatkan maklum balas situasi politik

KUALA LUMPUR,. Berikutan kemelut politik negara sejak dua hari lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Ahli Parlimen untuk menilai sendiri situasi itu.

Bermula 2.30 hingga 6 petang, Seri Paduka menemu bual 90 daripada 222 Ahli Parlimen dan akan bertemu yang lain esok.

Sementara itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilantik sebagai Perdana Menteri interim susulan tumbangnya gabungan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin, kembali ke pejabatnya di Putrajaya.

Dr Mahathir berkongsi gambar beliau menjalankan tugas di Instagram, Twitter dan Facebook dengan kapsyen “Just another day in the office” (Seperti biasa satu hari lagi di pejabat).

Beliau turut mengadakan mesyuarat dengan pemimpin pelbagai parti politik semasa termasuk Pengerusi Gabungan Parti Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan juga bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu ketidaktentuan politik juga melanda beberapa negeri terutama yang diperintah PH dengan majoriti tipis seperti Johor, Melaka, Kedah dan Perak tetapi urusan pentadbiran berjalan seperti biasa.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali turut mempengerusikan mesyuarat khas dengan ketua setiausaha semua kementerian hari ini bagi memastikan urusan berjalan seperti biasa dalam perkhidmatan awam.

Malah dengan perkembangan politik terkini, semua urusan di seluruh negara berjalan seperti biasa tanpa sebarang ‘drama’ dilaporkan.

Pada sebelah petang, perikatan UMNO-PAS, Muafakat Nasional bersama-sama MCA, MIC dan PBRS mengadakan sidang akhbar bersama bagi menyatakan supaya Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan berikutan situasi semasa politik negara.

Berbeza dengan semalam, Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini apabila ketidaktentuan politik tempatan mula mereda selepas beberapa pengumuman utama dibuat termasuk pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This