AHB umumkan 5% agihan pendapatan untuk tahun 2022

AHB umumkan 5% agihan pendapatan untuk tahun 2022

KUCHING: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) mengumumkan pengagihan pendapatan akhir dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.50 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 30 September 2022.

Menurut kenyataan medianya hari ini, jumlah tersebut terhasil daripada pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.18 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.32 sen seunit.

Jelasnya, jumlah bonus yang diberikan ini adalah sumbangan daripada PHB selaku penaja dana AHB.

Pengagihan bonus ini katanya, adalah terhad kepada 500,000 unit pertama untuk setiap pemegang unit.

Pengarah Urusan Kumpulan PHB Datuk Mahmud Fauzi Muda (gambar) berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran di dalam pasaran semasa, aktiviti penyewaan pada tahun 2022 telah meningkat secara beransur-ansur berbanding tahun 2021.

“Sejak tahun 2011, AHB telah membayar pengagihan pendapatan lebih kurang RM1.87 bilion kepada para pelabur.

“PHB adalah sebuah syarikat operasi tunggal kepada Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, sebuah institusi amanah yang bernaung di bawah bidang kuasa kerajaan Malaysia.

“Selain mempunyai harga tetap berjumlah RM1 untuk setiap unit, AHB turut menawarkan banyak lagi ciri-ciri yang menarik seperti pengeluaran segera, patuh syariah dan pengagihan pendapatan sebanyak dua kali setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Mahmud Fauzi berkata, menjelang hujung tahun 2022, AHB akan melancarkan aplikasi mudah alih ‘MyAHB’ bagi membolehkan pemegang unit memantau dan menguruskan pelaburan AHB mereka dengan mudah dari rumah. “Aplikasi mudah alih MyAHB membolehkan pemegang unit melihat portfolio pelaburan dan baki akaun mereka, melanggan unit tambahan atau menebus pelaburan mereka dari dalam talian.

“Ia juga boleh menjejaki transaksi terkini dan memuat turun penyata akaun,” katanya.

Beliau menambah, aplikasi ini diperkenalkan untuk meningkatkan pengalaman pengguna, kelajuan dan kemudahan terutamanya untuk generasi muda yang lebih dekat dengan platform digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAM Ahmed Muzni Mohamed berkata, seperti yang telah diumumkan pada April 2022, pihaknya akan meneruskan skim pelaburan semula pengagihan pendapatan khusus untuk pemegang unit runcit.

Melaluinya, agihan pendapatan yang diperoleh akan dilaburkan semula sama ada sebahagian ataupun keseluruhan unit.

Pemegang unit runcit dengan baki bulanan minima 10,000 unit atau kurang akan menerima agihan pendapatan secara tunai.

“Manakala mereka yang mempunyai lebih daripada 10,000 unit, akan menikmati agihan pendapatan dalam bentuk unit AHB.

“Bagi pemegang unit institusi, mereka akan terus menerima agihan pendapatan secara tunai,” katanya.

Beliau menambah, AHB membenarkan pengeluaran dan penebusan segera buat para pelabur yang menerima agihan pendapatan dalam unit AHB.

Para pelabur katanya, boleh menukar unit tersebut kepada tunai di cawangan bank berdekatan.

Pengagihan pendapatan AHB ini adalah dikecualikan dari cukai dan telah dizakatkan dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang-pemegang unit pada 14 Oktober 2022.

Pada April 2022, PHB dan MAM telah mengumumkan pengagihan pendapatan interim sebanyak 2.15 sen seunit berserta pengagihan bonus sebanyak 0.35 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2022.

Ini menjadikan jumlah pengagihan pendapatan AHB bagi tahun 2022 adalah sebanyak 5.00 sen seunit atau bersamaan dengan 5 peratus setahun dengan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM183.06 juta untuk tempoh 12 bulan berakhir 30 September 2022.

-Agensi

CATEGORIES
Share This