
Ahli Kelab Belantara ubah suai kenderaan untuk bantu mangsa banjir
JERTIH,. Demi membantu mangsa banjir ahli Kelab Belantara 4X4 Besut (Belantara) sanggup mengeluarkan kos mengubah suai kenderaan pacuan empat roda masing-masing sehingga ada yang mencecah RM20,000.
Presiden Belantara Wan Nadzlin Wan Mohamed berkata pengubahsuaian itu dilakukan oleh ahli-ahlinya bagi memastikan kenderaan mereka boleh mengharungi banjir hingga kedalaman separuh kenderaan dan melalui jalan-jalan yang sukar dimasuki kenderaan biasa.
“Antara ubah suai yang kami lakukan adalah meninggikan badan dan enjin kenderaan agar dapat mengharungi air atau lumpur yang lebih dalam.
“Ada juga yang pasang ‘snorkel’ atau alat tambahan untuk mengeluarkan air supaya enjin tidak dimasuki air dan dapat meredah banjir sehingga hampir kedalaman dua meter. Selain itu ada juga kenderaan pacuan empat roda yang dilengkapi dengan ‘winch’ untuk menarik kereta lain yang terkandas dalam banjir,” katanya kepada Bernama hari ini.
Katanya selain kos pengubahsuaian kenderaan, ahli-ahlinya juga secara sukarela menanggung kos penyelenggaraan kenderaan sehingga RM3,000 setiap kali musim banjir bagi memastikan pacuan empat roda mereka berada dalam keadaan memuaskan untuk membantu mangsa.
Wan Nadzlin berkata untuk banjir pada musim ini, 26 ahli daripada 300 keseluruhan ahli Belantara telah bersiap sedia bersama kenderaan masing-masing untuk berkhidmat menyelamatkan mangsa banjir terutama di daerah Besut.
“Unit ResQ Team (pasukan penyelamat) Belantara telah diaktifkan dan kita menunggu arahan daripada pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas sukarela ini pada bila-bila masa sekiranya banjir melanda.
“Ahli kami telah membuat persiapan termasuk menyelenggara kenderaan pacuan empat roda masing-masing untuk bertugas terutamanya memindahkan mangsa banjir dan pergi ke kawasan yang tidak boleh dilalui kenderaan biasa,“ katanya.
Katanya semua pemandu dalam kelab Belantara mempunyai pengalaman luas dalam aktiviti pemanduan lasak menggunakan pacuan empat roda dan mereka sentiasa membawa kelengkapan sendiri seperti makanan dan dapur gas bergerak sepanjang melakukan tugas penyelamatan yang adakalanya bermula daripada pagi hingga lewat malam.
“Bagaimana pun faktor keselamatan pemandu dan mangsa banjir sentiasa diambil perhatian. Kawasan yang dikenal pasti berisiko dan mendatangkan bahaya akan dielakkan oleh ahli kami,” katanya sambil memaklumkan pihaknya sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa untuk menentukan lokasi menyelamat yang boleh dilalui oleh ahlinya.
–BERNAMA