Ahli UMNO jangan rasa selesa di sebalik sokongan 4 MP Bersatu kepada PM – Zahid

Ahli UMNO jangan rasa selesa di sebalik sokongan 4 MP Bersatu kepada PM – Zahid

KUALA LUMPUR: Pemimpin dan akar umbi UMNO di kawasan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya berasa selesa.

Sebaliknya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mereka supaya terus bekerja keras agar sokongan kembali kepada parti itu dalam pilihan raya akan datang. Jelas beliau, kerusi-kerusi Parlimen berkenaan merupakan kawasan yang dimenangi oleh UMNO dan Barisan Nasional sebelum ini.

“UMNO Bahagian di kawasan itu harus tidak berasa selesa dengan adanya dukungan Ahli Parlimen yang berkenaan.

“Biarpun mereka (Ahli Parlimen pembangkang) membantu dan menyokong perdana menteri tapi UMNO sebagai parti politik harus memperkuatkan pengaruh di akar umbi bagi mengembalikan dukungan pengundi dan rakyat kepada sesiapa saja yang akan dicalonkan mewakili UMNO dan BN (Barisan Nasional) di kawasan itu nanti,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen pada Khamis.

Ditanya sama ada UMNO akan menerima Ahli Parlimen Bersatu sekiranya mereka ingin kembali ke pangkuan parti itu, Ahmad Zahid menjelaskan pihaknya belum mengadakan perbincangan. “Kita belum terfikir perkara itu dan kita akan berbincang dengan pemimpin di bahagian atau kawasan Parlimen itu untuk menentukan haluan baru,” katanya lagi.

Ditanya dakwaan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa terdapat elemen rasuah sehingga empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar, ini jawapan Ahmad Zahid.

“Saya minta beliau buktikan adanya elemen rasuah,” katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, sokongan telah ditunjukkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang kepada Perdana Menteri itu disifatkan sangat positif dan ia perlu dilihat dengan sangkaan baik.
Malah beliau menjangkakan lebih ramai lagi Ahli Parlimen pembangkang, khususnya daripada Bersatu akan mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

-Agensi

CATEGORIES
Share This