Aidil Sharin boleh ‘pergi’ ke mana suka – Muhammad Sanusi

Aidil Sharin boleh ‘pergi’ ke mana suka – Muhammad Sanusi

ALOR SETAR,. Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor bersikap terbuka jika ketua jurulatih skuad Lang Merah Aidil Sharin Sahak ingin berhijrah ke pasukan lain.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata jurulatih dari Singapura itu masih mempunyai kontrak bersama pasukan Kedah sehingga akhir musim ini dan khidmatnya diperlukan.

“Saya belum dapat maklumat tentang perkara tersebut (pindah), tapi negara kita negara demokrasi, siapa-siapa pun boleh pergi ke mana-mana yang mereka suka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi mengulas mengenai desas-desus kemungkinan Aidil Sharin ‘dilamar’ untuk menerajui pasukan Perak bagi saingan musim depan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan barisan pemain skuad Lang Merah untuk menyusun semula struktur gaji mereka.

“Semua orang faham KFA ada beban kewangan, salah satu punca masalah itu adalah tangga gaji dan saya ucap terima kasih kepada semua pemain yang sedia mengadakan perbincangan.

“Selepas ini, jika ada yang tidak boleh terima kemungkinan pengurangan gaji dan tidak sesuai dengan kemahiran mereka, KFA terbuka kerana mereka pemain profesional yang boleh tawarkan khidmat di mana-mana,” katanya.

Namun, Muhammad Sanusi berharap supaya pemain yang juga anak jati Kedah dapat meneruskan khidmat mereka untuk skuad Lang Merah.

“Kami minta kalau boleh, anak-anak Kedah yang hebat, duduk dan cari makan di tempat sendiri, taburlah budi di Kedah,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This