
Aira mara ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Remaja British
KUALA LUMPUR,. Pemain skuasy remaja negara, Aira Azman berada pada landasan terbaik dalam memburu kejuaraan kedua Kejohanan Terbuka Remaja British di Birmingham, England, selepas melangkah ke saingan separuh akhir, pada Jumaat (awal Sabtu di Malaysia).
Biarpun diheret ke set penentuan, Aira pemain nombor 71 dunia, kekal tenang untuk menundukkan wakil tuan rumah yang merupakan pilihan ke-5/8, Asia Harris bagi kategori perempuan Bawah 19 tahun (B-19) pada perlawanan berlangsung di Universiti Birmingham itu.
Pada awalnya, Aira menguasai dua set berturut-turut 11-8, 11-6 ke atas Asia sebelum pencabarnya itu bangkit di set ketiga dengan kemenangan 10-12.
Tidak mahu melepaskan slot empat terbaik secara mudah, atlet kelahiran Alor Setar, Kedah itu bangkit memutlakkan kemenangan di set penentuan 11-3 dan dijadual berdepan pemain Mesir, Fayrouz Abouelkheir di separuh akhir.
Aira sebelum ini pernah mengungguli gelaran juara bagi kategori B-15 dalam kejohanan sama pada 2018.
Keputusan dilakar Aira itu, sekali gus mengiringi dua lagi wakil negara yang turut mara ke saingan separuh akhir iaitu Jinooreeka Ning bagi kategori perempuan B-13 dan M. Nickhileswar bagi kategori lelaki B-15.
Jinooreeka mencipta sensasi selepas menewaskan pemain Kanada, Joelle Kim dengan kemenangan straight set 11-5, 11-6, 11-5.
Sementara Nickhileswar yang merupakan pilihan pertama kejohanan melakar kemenangan ke atas wakil tuan rumah, Ismail Khalil 11-8, 11-7, 11-8.
— BERNAMA