AirAsia India enggan ulas laporan mengenai perubahan perjanjian lesen jenama

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 27 Dis — AirAsia India pada Jumaat enggan mengulas laporan mengenai perubahan dalam perjanjian lesen jenama yang akan memberi lebih kuasa kepada rakan kongsi tempatan, Tata Sons ke atas operasi utamanya.

Memandangkan syarikat penerbangan tersebut bersedia untuk menawarkan perkhidmatan bagi laluan asing, Kementerian Penerbangan Awam India telah meminta rakan kongsi usaha samanya menyemak semula perjanjian itu, menurut laporan akhbar Business Standard.

Berdasarkan laporan berkenaan, jualan dan pengedaran, pengurusan perolehan, perancangan rangkaian, perkhidmatan sajian makanan, perkhidmatan dalam penerbangan, kewangan, kejuruteraan dan kontrak pajakan merupakan antara perkara yang kini akan tertakluk hanya kepada budi bicara AirAsia India berbanding kelulusan AirAsia Bhd yang berpangkalan di Malaysia.

“Kami enggan membuat sebarang ulasan,” kata jurucakap AirAsia India apabila dihubungi Bernama.

Jurucakap Tata Sons turut menolak untuk mengulas laporan tersebut yang mengatakan draf perjanjian itu telah dikemukakan kepada Kementerian Penerbangan Awam.

AirAsia Bhd memiliki 49 peratus kepentingan AirAsia India manakala Tata Sons menguasai 51 peratus lagi.

Kerajaan India tidak membenarkan kepentingan majoriti usaha sama berasaskan tempatan dimiliki rakan kongsi asing selain menetapkan kawalan utama perlu dipegang oleh pihak negara itu.

Perkhidmatan antarabangsa yang dirancang AirAsia India telah ditangguhkan walaupun ia telah memenuhi dua keperluan utama kerajaan iaitu beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun dan mempunyai 20 pesawat.

Syarikat penerbangan itu mengendalikan sejumlah 28 pesawat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )