AirAsia lancar jualan tempat duduk daripada RM13

AirAsia lancar jualan tempat duduk daripada RM13

KUCHING,. Sempena meraikan kemenangannya sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-13 berturut-turut, AirAsia hari ini melancarkan jualan tempat duduk daripada RM13 sejajar dengan pencapaiannya sebagai peneraju tambang rendah global.

Kenyataan akhbar dikeluarkan AirAsia berkata jualan yang dilancarkan itu berlangsung sehingga 2 Oktober 2022 dan merangkumi pasaran utama termasuk Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam dan banyak lagi.

Laluan jarak jauh seperti dari Kuala Lumpur dan Bangkok ke Australia (Melbourne, Perth, Sydney), New Zealand (Auckland), Korea Selatan (Seoul), Timur Tengah (Jeddah) dan India (New Delhi) juga tersedia dengan tambang termasuk semua bermula daripada RM459* untuk tempat duduk ekonomi dan daripada RM1,219 untuk Premium Flatbed.

Selain itu, sempena pengumuman kelonggaran sekatan perjalanan ke Jepun mulai bulan depan, AirAsia X juga mengumumkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Tokyo (Haneda) dan Sapporo.

Manakala Thai AirAsia mengumumkan laluan baharu dari Bangkok ke Fukuoka yang kini tersedia untuk tempahan bagi tempoh perjalanan bermula November daripada RM599* untuk tempat duduk ekonomi atau RM2,599* untuk Premium Flatbed.

Laluan terus baharu yang menghubungkan Pulau Pinang ke Bali buat kali pertama juga termasuk dalam jualan ini dengan tambang daripada RM159.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia Karen Chan berkata: “Kami berbesar hati untuk meraikan pelbagai kemenangan pada bulan ini termasuk jualan pecah rekod pascapandemik pada minggu lepas dan kini sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia sebanyak 13 kali berturut-turut.

“AirAsia ialah syarikat penerbangan untuk semua dan kami berbangga kerana memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia pilihan oleh para tetamu.”

Karen menambah: “Sebagai ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada berjuta-juta tetamu yang memilih untuk terbang bersama kami pada setiap tahun dan kepada mereka yang mengundi kami, kami ingin menawarkan jualan istimewa ini dengan tambang bermula daripada RM13 – atau RM1 bagi setiap tahun kemenangan kami!

“Kami telah menerbangkan lebih 700 juta tetamu. Kini kami kembali terbang tinggi dan berharap akan terus mengubah kehidupan berjuta-juta tetamu pada tahun-tahun akan datang, sama seperti yang telah kami lakukan selama hampir 21 tahun ini.”

Untuk perkembangan terkini mengenai penerbangan, perjalanan, gaya hidup dan banyak lagi, ikuti @flyairasia di Instagram atau @airasia di Twitter dan WeChat/Weibo untuk kemas kini terkini.

Semua penerbangan yang dijual adalah untuk perjalanan sehala, termasuk cukai lapangan terbang dan sebarang caj berkaitan.

Tambang ke beberapa destinasi AirAsia X dan Thai AirAsia adalah tertakluk kepada kelulusan kawal selia. Tertakluk kepada terma dan syarat.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )