AirAsia nafi dakwaan salah laku taja pasukan sukan
KUALA LUMPUR,. AirAsia menafikan dakwaan rasuah terhadapnya dan tidak pernah terlibat dengan mana-mana siasatan Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom (UK) mengenai Airbus atau diberikan peluang untuk menyediakan sebarang maklumat atau penjelasan kepada SFO.
AirAsia berkata demikian bagi merujuk artikel bertajuk “AirAsia directors/staff got RM240 mil bribe from Airbus, court docs say” di laman web focusmalaysia.my selain artikel-artikel lain yang tersiar di media mengenai Perjanjian Pendakwaan Tertunda yang dimeterai di antara Airbus SE dan SFO pada 31 Jan, 2020.
Artikel itu yang mengaitkan beberapa perjanjian tertentu oleh AirAsia untuk menempah pesawat Airbus adalah tidak berkaitan dengan penajaan Airbus untuk pasukan sukan yang dimiliki bersama oleh eksekutif AirAsia.
“AirAsia menafikan segala dakwaan salah laku ini,” kata syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan malam ini.
AirAsia berkata, setiap pembelian pesawat tidak pernah diputuskan oleh mana-mana individu, namun, dilaksanakan menerusi penilaian yang teliti, perbincangan dan keputusan kolektif oleh ahli lembaga pengarah selepas mengambil kira spesifikasi teknikal, prestasi penerbangan pesawat dan operasi ekonomi.
Kelebihan dan kebolehpercayaan terhadap pesawat ini dan harga menarik yang ditawarkan bagi mengekalkan daya saingnya dalam perniagaan pesawat merupakan pertimbangan utama syarikat, kata AirAsia dan menurutnya, sebagai pelanggan Airbus sejak 2005, ia tidak pernah membuat keputusan pembelian berdasarkan tajaan syarikat pengeluar pesawat itu.
“Kami ingin menekankan bahawa, setiap rundingan dan urusan yang membawa kepada pemeteraian perjanjian pembelian pesawat dilakukan secara langsung dengan Airbus, dilaksanakan secara saksama tanpa membabitkan pihak ketiga atau perantara.
“Eksekutif AirAsia juga berunding secara ketat untuk kepentingan syarikat dan jujur pada sepanjang masa,” katanya.
AirAsia berkata ia sedar bahawa hubungan antara syarikat itu dan Airbus yang telah terjalin melebihi sedekad, telah dilapor oleh media tanpa konteks atau ulasan yang tepat, malah pandangan mengenai isu itu mungkin dilaksanakan secara tidak adil dan tidak matang.
Selain itu, penglibatan Airbus dalam penajaan pasukan sukan juga telah diketahui umum sekali gus memperkenalkan lagi jenama itu dan memberi manfaat lain kepada Airbus, katanya.
AirAsia berkata tajaan syarikat itu kepada pasukan sukan dilaksanakan menerusi penilaian dan persetujuan dalaman sebelum dipertimbang dan diluluskan oleh lembaga pengarah.
“Memandangkan AirAsia dan eksekutifnya tidak dapat menyaksikan proses dalaman Airbus, kami tidak boleh memberi pandangan atau dikaitkan dengan sebarang dakwaan kegagalan atau kesalahan bagi pihak Airbus untuk mematuhi polisinya sendiri atau keperluan undang-undang yang berkaitan.
“AirAsia melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan ini yang memberi impak buruk kepada jenama, reputasi dan nama baik AirAsia.
“AirAsia memantau perkembangan mengenal hal ini dan akan mengkaji semula sebarang dakwaan atau kesimpulan yang negatif membabitkan AirAsia atau menjejaskan AirAsia dan/atau eksekutifnya dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pihak berkuasa yang berkaitan apabila diperlukan,” katanya.
— BERNAMA