AirAsia setuju tingkat kekerapan penerbangan Kuching-Sibu mulai 1 Ogos – Lee Kim Shin

AirAsia setuju tingkat kekerapan penerbangan Kuching-Sibu mulai 1 Ogos – Lee Kim Shin

KUCHING,. Airasia Berhad (AirAsia) telah bersetuju untuk meningkatkan lagi kekerapan penerbangan bagi perjalanan antara Kuching dan Sibu kepada 21 penerbangan seminggu bermula 1 Ogos, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.

Katanya, AirAsia sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang mengadakan penerbangan bagi sektor itu pada masa ini mengendalikan tujuh penerbangan seminggu, dan berdasarkan kepada pandangan orang ramai, jumlah itu agak rendah bagi memenuhi keperluan penumpang antara kedua destinasi.

“AirAsia telah bersetuju untuk meningkatkan kekerapan perjananan Kuching-Sibu-Kuching daripada tujuh kali seminggu kepada 21 penerbangan seminggu atau daripada 1 kepada tiga penerbangan sehari,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata memandangkan negeri itu masih lagi di bawah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kesemua penumpang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC).

“Saya percaya, peningkatan kekerapan penerbangan bukan sahaja bagi memenuhi permintaan orang ramai, tetapi lebih penting lagi untuk membantu meningkatkan pemulihan ekonomi negeri terutamanya industri pelancongan,” tambah beliau lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This