Airbus peruntuk US$120 juta bagi inisiatif tingkat industri aeroangkasa tempatan

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) — Airbus akan memperuntukkan kira-kira US$120 juta (RM505 juta) bagi tiga inisiatif untuk menyokong lagi pembangunan industri aeroangkasa tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Airbus Guillaume Faury berkata inisiatif itu adalah untuk mengembangkan lagi unitnya Sepang Aircraft Engineering, meningkatkan pembiayaan kepada Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) bagi program penyelidikan dan menubuhkan Inisiatif Digital Airbus Malaysia.

“Dengan langkah-langkah ini, lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan pada tahun-tahun akan datang dan ia boleh meningkatkan daya saing sektor aeroangkasa tempatan,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis permeteraian dengan AirAsia hari ini.

Faury berkata komitmen yang dibuat itu menunjukkan Malaysia adalah pasaran penting Airbus kerana ia percaya permintaan terhadap penerbangan akan terus berkembang.

“Kami yakin dengan pertumbuhan kami dan saya percaya Malaysia mempunyai persekitaran perniagaan yang baik dengan pekerja mahir dan tahap pendidikan tinggi,” katanya.

Perjanjian komitmen Airbus yang dimeterai Faury dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd Datuk Kamarudin Maranun itu disaksikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Kamarudin berkata perjanjian tersebut menandakan satu pencapaian penting bagi masa depan industri penerbangan di negara ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada Airbus di atas sokongan berterusannya terhadap syarikat penerbangan kita dan sumbangannya kepada ekonomi kita menerusi pembiayaan dan pembangunan industri aeroangkasa Malaysia,” katanya.

Airbus adalah rakan antarabangsa terbesar bagi industri aeroangkasa Malaysia dengan perniagaan penyumberan dan perkhidmatannya di negara ini kini bernilai kira-kira US$400 juta setahun bagi ekonomi tempatan.

Aktiviti syarikat itu ketika ini mengambil lebih 4,000 pekerja berkemahiran tinggi tempatan untuk bekerja dalam sektor penerbangan yang semakin pantas berkembang di negara ini.

Airbus juga memeterai perjanjian dengan AirAsia hari ini bagi pembelian 12 pesawat tambahan Airbus A330neo dan 30 pesawat A321XLR bagi syarikat penerbangan tambang rendah itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )