Aktiviti belian ketika harga rendah pacu Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini

Aktiviti belian ketika harga rendah pacu Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia yang jatuh semalam setelah mencatatkan beberapa siri kenaikan, dibuka tinggi pagi ini, dirangsang oleh aktivti membeli ketika harga murah untuk beberapa saham terpilih.

Pada pukul 9.03 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.28 mata kepada 1,591.73 berbanding 1,589.45 ketika ditutup semalam.

Indeks utama bagaimanapun, susut sedikit sedikit sebanyak 1.03 mata pada 1,588.42 dengan saham TopGlove mencatatkan kemerosotan ketika dibuka pagi ini.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran masih lagi positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 291 berbalas 86, manakala 282 kaunter tidak berubah, 1,312 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 469.86 juta unit bernilai RM220.86 juta.

Malacca Securities dalam nota ekuitinya berkata selepas mencatatkan kemerosotan sementara semalam, para pelabur akan memantau saham-saham yang di bawah nilai kerana minat pelabur masih lagi dalam lingkungan pasaran ekuiti.

“Ini terbukti dengan meningkatnya aktiviti urus niaga sejak kebelakangan ini yang menyaksikan aktiviti berpilih kekal dalam tempoh jangka masa akan datang,” katanya.

Ia menambah untuk hari ini, saham-saham perladangan akan menjadi tumpuan kerana harga minyak sawit mentah telah mencecah paras tinggi lima bulan, dirangsang oleh tahap inventori yang rendah dan prospek permintaan yang kian meningkat.

Sementara itu, secara teknikalnya FBM KLCI masih lagi berhadapan dengan paras halangan 1,600 – 1,615.0.

“Memandangkan kita telah menyaksikan satu lagi rekod dagangan tertinggi semalam, kita menjangkakan pasaran akan lebih lengang hari ini sehinggalah munculnya pemangkin atau apa-apa pengumuman penting,” kata beliau.

Saham-saham berwajaran tinggi, Tenaga Nasional bangkit semula daripada kerugian semalam, meningkat enam sen kepada RM11.40, manakala kumpulan Maybank dan CIMB, masing-masing menambah dua sen kepada RM7.84 dan 3.55.

Top Glove kembali pulih, naik 12 sen kepada RM24.94 manakala Hartalega kekal pada RM17.46.

Untuk saham paling cergas, Hubline dan XOX, kedua-duanya naik satu sen kepada sembilan sen dan 19 sen manakala Lambo yang begitu aktif sejak semalam mengukuh setengah sen kepada lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 27.20 mata kepada 11,281.88, Indeks FBMT 100 menambah 20.42 mata kepada 11,133.12 dan Indeks FBM Emas Shariah lebih kukuh 25.82 mata kepada 13,091.04.

Indeks FBM 70 pula melonjak 43.70 mata kepada 14,195.40 dan FBM ACE meningkat 72.46 mata kepada 7,518.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melambung 47.52 mata kepada 13,432.01, Indeks Perladangan untung 0.86 mata kepada 7,032.84 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.38 mata kepada 138.63.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This