Aktiviti keagamaan di masjid, surau di sabah dibenarkan mulai Jumaat
KOTA KINABALU,. Semua masjid dan surau di Sabah dibuka untuk solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat bermula esok.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kebenaran itu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.
Bagaimanapun beliau berkata kebenaran itu tertakluk kepada satu pertiga kapasiti dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal, sementara aktiviti lain di masjid dan surau seperti kuliah Maghrib serta solat sunat dhuha juga dibenarkan dan tidak melebihi satu jam pada setiap sesi.
“Kelas agama juga dibenarkan tetapi tidak melebihi tempoh lima jam dan bilangan peserta tidak lebih daripada 20 orang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata majlis akad nikah juga dibenarkan di dalam dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak lebih 20 orang pada satu masa dengan menjaga disiplin dan mematuhi SOP.
Jamuan dengan makanan dan minuman yang dibungkus turut dibenarkan manakala had umur kanak-kanak yang dibenarkan hadir ke masjid dan surau adalah 10 tahun ke atas, katanya.
Masidi berkata aktiviti dan program keagamaan di rumah ibadat bukan Islam turut dibenarkan tertakluk kepada satu pertiga kapasiti dewan sembahyang utama dengan pematuhan SOP ditetapkan antaranya merekodkan kehadiran penganut menggunakan aplikasi MySejahtera, Sabahtraces atau mencatat kehadiran dalam buku log yang disediakan.
Selain itu penyediaan kaunter di pintu masuk dewan untuk pemeriksaan suhu badan dan memastikan pergerakan masuk ke dalam dewan mengikut giliran, memakai pelitup muka sepanjang masa dan kerap membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman, katanya.
Beliau berkata penganut tidak dibenarkan berkumpul di kawasan lapang rumah ibadat termasuklah bersalaman, berpelukan dan mengadakan aktiviti berjadual di dalam dan di luar rumah ibadat seperti kelas keagamaan dan kebudayaan.
— BERNAMA