Aliran meningkat timah, tembaga dijangka berterusan hingga akhir tahun – Peniaga

Aliran meningkat timah, tembaga dijangka berterusan hingga akhir tahun – Peniaga

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR,. Aliran meningkat dalam pasaran tembaga dan timah global dijangka berterusan hingga akhir tahun sebelum memberikan sebarang tanda-tanda penurunan, kata para peniaga.

Disokong oleh optimisme mengenai perkembangan positif vaksin COVID-19 di seluruh dunia, harga timah dan tembaga, masing-masing mempunyai potensi untuk naik kepada US$22,000 satu tan dan US$10,200 satu tan, kata seorang peniaga kepada Bernama.

“Walaupun kes COVID-19 meningkat di seluruh dunia, harga tembaga didorong oleh kemajuan dalam pembangunan vaksin COVID-19 — pelaksanaannya yang dapat memulihkan ekonomi global dan menggalakkan permintaan terhadap logam.

“Sebagai petunjuk kepada kesihatan ekonomi global, tembaga telah mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua setengah tahun,” katanya.

Beliau berkata berita mengenai vaksin yang positif akan menyokong logam industri, melangkah ke hadapan, berikutan ia bermakna ekonomi boleh mula dibuka.

“Sudah tentu akan ada paras halangan. Pada asasnya, sukar untuk dijangka berikutan landskap politik Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu, dan ia turut bergantung kepada perkembangan geopolitik dunia.

“Satu perkara yang pasti, berbilion orang perlu disuntik untuk memastikan virus itu tidak lagi menjadi ancaman kepada anggota masyarakat yang mudah terjejas atau memberi ancaman kepada pertumbuhan ekonomi baharu,” katanya.

Seorang lagi peniaga berkata kerajaan di seluruh dunia perlu mencari cara untuk mengurangkan pakej rangsangan mereka yang besar.

“Di AS, tempoh pentadbiran Presiden Donald Trump selama empat tahun yang tidak stabil berakhir dengan Joe Biden akan mengambil alih, dan United Kingdom menghadapi saat Brexit yang sebenar, satu lagi situasi (bersejarah). Ini adalah satu titik perubahan,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, harga tembaga berada pada aliran meningkat untuk tiga hari berturut-turut dalam persekitaran optimisme berikutan pelan rangsangan bernilai US$1.9 trilion oleh bakal Presiden Joe Biden.

“Sementara itu, spread (niaga hadapan tembaga) diniagakan dalam sesi turun naik semalam, dengan bidaan pada spread hadapan Jun 2021 dan seterusnya yang kukuh,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This