
AmBank Group komited patuhi semua peraturan perbankan
KUALA LUMPUR,. AmBank Group, salah satu bank yang disebut dalam kebocoran dokumen Rangkaian Penguatkuasaan Jenayah Kewangan Amerika Syarikat (FinCEN) Jabatan Perbendaharaan negara itu, menegaskan bahawa ia memberi komitmen penuh dalam mematuhi semua peraturan berkaitan perbankan.
“Sejak beberapa tahun lepas, amalan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) di peringkat global telah dipertingkatkan dan diperketatkan. AmBank sememangnya mematuhi kerangka AML/CFT sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumpulan perbankan itu berkata ia telah membelanjakan lebih RM100 juta bagi tempoh empat tahun bermula 2016 untuk menambah baik aspek kecekapan proses serta mempertingkat sistem pemantauan, infrastruktur dan latihan.
“Kami juga telah melantik kalangan pekerja industri ini bagi usaha transformasi bank dan memastikan semua undang-undang dan peraturannya dipatuhi,” katanya.
Laporan AS yang memetik dokumen berkaitan, menyatakan sebanyak 23 transaksi membabitkan US$18.26 juta ke/dari bank di Malaysia bagi tempoh 2010 hingga 2016, telah dianggap sebagai ‘meragukan’ oleh bank yang berpangkalan di negara maju itu.
Dua hari lepas, Public Bank yang turut dinamakan dalam dokumen FinCEN berkenaan, mengeluarkan kenyataan akan terus komited memerangi jenayah kewangan dan akan bekerjasama bagi mengekalkan integriti sistem kewangan.
Satu lagi bank yang disebut dalam dokumen itu, CIMB Group Holdings Bhd pula berhasrat untuk memfailkan Laporan Aktiviti Mencurigakan pada masa sesuai dan menegaskan bahawa ia sentiasa mematuhi proses usaha wajar yang teguh dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.
— BERNAMA