
AmBank Group mahu wujudkan pasaran digital bagi perniagaan tradisional
KUALA LUMPUR,. AmBank Group berhasrat untuk mewujudkan e-pasaran kepada usahawan tradisional dalam usaha membantu penjualan produk dan perkhidmatan mereka di tengah-tengah cabaran ekonomi semasa.
Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank, Christopher Yap berkata kumpulan merancang untuk melancarkan e-pasaran itu pada bulan ini, sambil menambah kumpulan berharap inisiatif ini akan membantu usahawan untuk bergerak melangkaui bantuan kewangan.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan orang masih teragak-agak untuk keluar, oleh itu pelanggan boleh membeli produk penting melalui e-pasaran, terutamanya dalam persediaan hari raya yang akan datang dan sekurang-kurangnya usahawan akan mempunyai aliran tunai,” katanya semasa webinar “Pengamalan Norma Baharu: Sekarang dan Selepas PKP” yang dianjurkan oleh Plus Solar.
Sementara itu, Yap berkata pandemik COVID-19 dan PKP telah mengganggu rantaian bekalan serta mengubah tabiat pengguna untuk membeli-belah.
Beliau menggesa usahawan untuk menerima e-dagang kerana ia menjadi norma baharu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LH Plus Sdn Bhd, Callum Chen berkata COVID-19 telah menjadi pemangkin untuk perubahan.
“Cabaran hanya wujud dalam pemikiran orang ramai, mengubah cara berfikir termasuk tingkah laku adalah sukar, tetapi kita boleh mengatasi masalah ini melalui penerimaan dan pemikiran positif.
“Anggap ini sebagai satu pengembaraan. Ini semua berkaitan dengan kelangsungan, jadi kita perlu menghadapi kebimbangan kita sendiri,” katanya.
Pengasas dan CEO Plus Solar Systems Sdn Bhd, Ko Chuan Zhen berkata teknologi telah menjadi unsur yang penting dalam krisis ini.
“Yang bagusnya tentang pandemik ini adalah ia memberi kesedaran yang semakin meningkat ke atas kelestarian. Kita telah menyaksikan hidupan liar berkembang, pemanasan global berkurangan.
“Sudah tentu, ini menjadikan kita lebih sedar mengenai kesan manusia ke atas alam sekitar,” katanya.
— BERNAMA